Monthly Archives: March 2008

Kelas PC Maintanance

31032008248.jpg31032008247.jpgHari ini merupakan minggu ke 13 kuliah pada semester ini [nota: Dis – April 2008] . Ini bermakna tinggal sekali lagi kuliah sebelum semua pelajar cuti study leave selama seminggu mulai 11 April – 20 April 2008 pada minggu hadapan. Pelajar akan mula menduduki peperiksaan akhir pada 21 Mac 2008.

Cepat betul masa berlalu. Hari ini pelajar yang mengambil subjek IMD 203 PC Maintanance menduduki latihan praktikal. Segala ilmu yang mereka belajar dalam subjek ini ini perlu dipraktikkan. Ada yang gugup dan berdebar bila ujian praktikal di mulakan.31032008249.jpg31032008245.jpg

Namun ujian praktikal ini dibuat dalam kumpulan maka perasaan berdebar dan takut itu mula hilang bila rakan dalam satu kumpulan member semangat antara satu sama lain.

Rumusannya, saya bangga semua pelajar berjaya membuat ujian praktikal tanpa sebarang masalah. Tahniah kepada semua. Saya yakin dan berdoa agar dengan ilmu yang diperolehi mereka mampu menghulurkan bantuan kepada rakan mereka jika ada Desktop atau Laptop rakan mereka yang rosak nanti.

Advertisements

Kenali penyakit katarak : penyebab dan rawatannya

Pembedahan katarak guna air

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

ADAKAH pandangan anda kabur, sukar membaca dan kerap menukar cermin mata? Atau, adakah pandangan anda teruk dalam cahaya terang dan paling ketara, anak mata menjadi putih?

Anda mungkin mengalami katarak iaitu sejenis kerosakan mata di mana kanta semula jadi menjadi berselaput atau berkabus.

Cahaya yang tidak dapat menembusi kanta mata akibat keadaan berkeruh itu menyebabkan rabun dan lama-kelamaan berpotensi mengakibatkan kebutaan.

Bagaimanapun, rawatan awal berupaya menghalang penglihatan seseorang daripada langsung terjejas dan tidak dapat melihat sama sekali.

Jadi, sekiranya anda mengalami gejala-gejala seperti di atas, segeralah berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan mata lebih lanjut.

Siapakah golongan yang berisiko menghidap katarak?

Memandangkan katarak merupakan satu proses yang berlaku seiring pertambahan usia seseorang, mereka yang berusia lebih 60 tahun rentan kepada penyakit ini.

Di Amerika Syarikat, katarak menjadi penyebab masalah penglihatan di kalangan lebih separuh daripada rakyatnya yang berusia 65 tahun ke atas.

Bagi kalangan berkenaan yang berusia di antara 55 hingga 65 tahun, katarak menjadi punca utama hilang penglihatan.

Lain-lain faktor penyebab katarak adalah:

* Diabetes melitus; kandungan gula dalam darah menjadikan kanta kurang kenyal dan membentuk katarak

* Merokok

* Sinar ultraungu

* Kecederaan

* Dilahirkan dengan katarak (kongenital); katarak boleh berlaku pada bayi atau kanak-kanak sekiranya si ibu menghidap jangkitan penyakit seperti rubela semasa kehamilan.

Bolehkah katarak dirawat?

Menurut pakar oftalmologi dari United Kingdom, Dr. Paul Rosen, rawatan mungkin tidak diperlukan pada peringkat awal di mana penglihatan tidak terganggu.

“Keseluruhan rawatan bergantung kepada keterukan dan keperluan-keperluan penglihatan masing-masing.

“Pada peringkat awal, doktor mungkin menasihatkan pesakit untuk memakai cermin mata sahaja,” katanya pada Kongres Oftalmologi Asia Pasifik (APAO) di Bandar Sunway, baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, apabila kaca mata tidak lagi dapat membantu, katarak hanya dapat dikeluarkan melalui kaedah pembedahan dan digantikan dengan kanta tiruan.

Hanya pembedahan dapat dilakukan bagi menyelesaikan masalah kerana perubahan pencahayaan dalam kanta mata tidak dapat diubati.

Ubat cecair mata atau vitamin tidak dapat merawat katarak.

Dalam konteks ini, kemajuan besar telah dicapai dalam prosedur pembuangan katarak Aqualase yang menggunakan rumusan cecair bagi memecah dan membuang bahan semula jadi kanta katarak dengan selamat.

Aqualase merupakan hasil teknologi perintis Alcon yang berjaya dihasilkan melalui Sistem Visi Infiniti Alcon, sebuah syarikat penjagaan mata yang terkemuka di dunia.

Sempena APAO itu juga, satu lintas langsung pembedahan mata Aqualase dari Hospital Mata Tun Hussein Onn telah disiarkan kepada ratusan pakar mata.

Pakar bedah mata terkemuka dari Itali, Dr. Francesco Carones telah mengetuai pembedahan tersebut yang dianggap salah satu sistem paling cekap dan anjal pernah dicipta untuk membuang katarak mata.

“Berbanding kaedah biasa pembedahan pembuangan katarak menggunakan peralatan logam, Aqualase mengurangkan komplikasi seperti kesan pembakaran torehan dan pecahan kapsular.

“Masa yang diambil untuk melakukan Aqualase juga adalah setanding dengan kaedah sedia ada yang digunakan sekarang oleh pakar mata di seluruh dunia,” kata Dr. Carones.

Menggunakan alat tunggal ini, para doktor kini mempunyai tiga pilihan untuk membuang katarak, instrumen pembedahan pembuangan katarak trimodal pertama di dunia.

Tiga pilihan berkenaan adalah:

* Pemecahan atau penyerpihan ultrasound yang lebih maju

* Kombinasi ultrasound dan osilasi (pergerakan, ayunan atau getaran yang teratur dari sisi ke sisi)

* Alat pencairan baru Aqualase Alcon.

Selain Aqualase, lain-lain teknik yang digunakan untuk membuang katarak ialah kanta intraokular (IOL) seperti Acrysof Natural & Acrysof ReStor.

Sementara itu, Acrysof Natural merupakan satu lagi teknologi baru kanta tiruan dengan keupayaan menuras sinar ultraungu dan sinar biru yang dapat memudaratkan mata manusia.

“Tinta kuning yang digunakan di dalam kanta Acrysof Natural juga tidak mengubah warna semula jadi objek-objek yang dilihat oleh pesakit mahupun menjejaskan kualiti penglihatan mereka.

“Kanta berkenaan turut menyediakan perlindungan daripada radikal bebas atau benda asing yang dapat merosakkan retina,” kata salah seorang panel lain, Dr. Abhay Vasavada dari India.

Acrysof ReStor pula adalah suatu teknologi menakjubkan yang dapat memulihkan kemampuan pesakit melihat objek dekat dan jauh tanpa bantuan cermin mata atau kaca mata berkanta dwifokus, dengan lebih baik.

Kongres APAO diadakan dua kali setahun bertujuan menjalinkan hubungan rapat serta bertukar-tukar maklumat di antara para oftalmologi dan persatuan berkenaan di rantau Asia Pasifik.

Hujung Minggu bersama keluarga

Tampin, 30 Mac 2008

Hujung Minggu adalah saat yang sentiasa saya nantikan. Lima hari berada di kampus bersama pelajar sudah cukup memenatkan. Namun menjadi seorang pensyarah adalah tugas hakiki yang perlu saya lakukan demi untuk melihat anak bangsa berjaya. Setiap Jumaat saya tidak sabar  balik ke Tampin untuk bersama keluarga terutama si comel Batrisyia. Kerenan si comel ini buat saya lupa semua masalah kerja. Batrisya baru berusia 2 tahun 6 bulan. 13092007112.jpg

Minggu ini banyak saya habiskan bersama ibu tersayang yang baru menjalani pembedahan mata Katrak (maklumat penyakit katrak ada saya lampirkan di ruang e-kesihatan. Nampaknya  emak kena banyak berehat dan tak boleh buat kerja berat. Inilah masanya saya perlu menemani emak dan bayak bersembang dengan beliau agar tidak bosan di rumah dan saya perlu memerhati beliau agar keperluannya dipenuhi. Tanggungjawab sebagai anak perlu ditunai. Itulah impian saya setelah empat tahun berjauhan dari emak kerana bertugas di UiTM Sarawak.

FTEC Smartbook

  

Blog Alam Maya akan memuatkan artikel IT melalui ruang “Jom Bijak IT” setiap minggu mulai minggu ini. Ruang ini akan menjadi rujukan kepada penulis dan pelajar Diploma Pengurusan Maklumat IS110, yang mengambil kod subjek IMD103 (IT in Info. Mgt), IMD 203 ( Pc Maintanance ) & IMD 252 (digital Resource Centre ).

Semoga pengunjung juga dapat membantu penulis mengirim artikel yang menarik dalam bidang IT untuk dikongsi bersama pengunjung lain. Sila e-mail kepada penulis jika anda ingin berkongsi ilmu dengan pengunjung yang lain.

Admin Alam Maya , Tampin 30 Mac 2008

E-mail : bakri88@yahoo.com

FTEC : SmartBook buat si cilik

OLEH KHAIRUNNISA SULAIMAN

ftec-nettbook.jpg

GAYA hidup semakin canggih kini menampilkan golongan cilik yang semakin obses terhadap teknologi maklumat (IT).

Dalam satu keluarga kini, bukan saja ibu bapa dan anak remaja yang perlukan maklumat dengan cepat malah kanak-kanak juga cepat belajar menggunakan IT.

Kini bagi melengkapi ‘sajian’ IT di kalangan kanak-kanak, sebuah syarikat komputer FTEC telah melancarkan SmartBook untuk kegunaan kanak-kanak.

Dilancarkan di IT Concept Store yang terbesar di negara ini, FTEC SmartBook disasarkan kepada kanak-kanak bagi semua peringkat usia bermula dengan pra-sekolah sebagai alat pengajaran bagi memberikan mereka akses kepada teknologi terkini.

Apa yang menarik FTEC SmartBook mudah digunakan ditambah dengan ciri yang unik bagi kemudahan kanak-kanak.

Lebih mengujakan papan kekuncinya kalis air serta mempunyai kawalan kecurian menggunakan persijilan ID digital.

Ia juga berupaya menjana beberapa aplikasi termasuk perisian pendidikan.

Komputer buku ini juga sesuai bagi penggunaan Internet-centric seperti perayauan Web, e-mel, instant messaging (mesej pantas), rangkaian sosial, tontonan video dalam talian, menonton gambar, VoIP dan bermain permainan dalam talian.

Pengarah Urusan FTEC, Tang Boon Koon berkata, akses awal kepada komputer akan membantu kanak-kanak belajar.

“Kami berharap akan melihat kesan yang positif dalam penggunaan komputer bagi membina kepakaran pemikiran kritikal, komunikasi dan celik digital.

“Menerusi pengalaman menggunakan komputer, kanak-kanak akan dapat membina kepakaran memori dan belajar bagaimana untuk mencari maklumat,” katanya semasa majlis pelancaran FTEC Smart Book di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pendidikan kini merupakan aspek yang terpenting dalam keluarga dan FTEC Smart Book yang dijual pada harga runcit bermula RM1,199 amat memberangsangkan.

Boon Koon berkata, ini merupakan langkah pertama bagi memberikan harga yang mampu dimiliki di kalangan ibu bapa.

Kerjasama dengan Intel menghasilkan netbook ini akan disasarkan bagi segmen pendidikan, kanak-kanak, pengguna komputer pertama, warga emas dan suri rumah.

Pelancaran

Pengurus Besar Intel Asia Pasifik Navin Shenoy berkata, Intel yang bekerjasama dengan FTEC gembira mengumumkan pelancaran versi pertama netbook PC di negara ini.

“Kami percaya dengan komputer peribadi yang menuju ke arah mobiliti dan industri pengkomputeran membangunkan produk dalam kelas terkini bagi menghubungkan berbilion manusia kepada Internet, Intel yakin dengan permintaan peralatan pengkomputeran mudah alih Internet centric.

“Intel percaya akses kepada teknologi yang mampu milik dan Internet adalah faktor kritikal bagi mereka bersedia bagi masa depan yang berubah dengan cepat,” kata Navin.

Malah pelancaran FTEC Smart Book membuktikan komitmen Intel dalam menyediakan teknologi kepada kanak-kanak dan melengkapkan mereka untuk menuju ke abad ke 21.

FTEC menawarkan dua model 7 inci dan 9 inci paparan LCD TFT warna

Spesifikasi

9 inci FTEC Smart Book

– Pemprosesan Intel Celeron M Ultra Low Voltage

– Wi-Fi 802.11b/g

– 9 inci warna LCD TFT

– 512MB RAM, 2GB NAND Flash

– Web kamera, USB 2.0, Linux OS

Pilihan: Ciri kawalan kecurian

Harga runcit: RM1,199

7 inci FTEC Smart Book

– Pemprosesan Intel Celeron M Ultra Low Voltage

– Wi-Fi 802.11b/g

– 7 inci warna LCD TFT

– 512MB RAM, 40GB hard disk

– USB 2.0, Linux OS

Pilihan: Tambahan RM99 bagi Window XP Starter Edition.

Harga runcit:RM1,299

Rawatan pilihan tekanan darah tinggi

Salam. Mulai minggu ini setiap hari Ahad saya akan berusaha memasukkan artikel E-Kesihatan untuk tatapan pengunjung Blog Alam Maya. Cetusan idea ini timbul atas kesedaran masalah kesihatan  yang saya, keluarga dan rakan-rakan alami. Perlu ada satu ruang untuk saya membuat rujukan.

Mingguan Malaysia , 30 Mac 2008

Rawatan pilihan tekanan darah tinggi

MASALAH tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan satu masalah kesihatan global dengan anggaran satu pertiga penduduk dewasa dunia melebihi umur 30 tahun menghidap penyakit tersebut.

Di Malaysia, mungkin lebih enam juta golongan dewasa, terutamanya lelaki menghidap tekanan darah tinggi yang boleh berpunca daripada pelbagai faktor.

Terdapat faktor yang tidak boleh diubah seperti warisan genetik tetapi ada juga yang boleh diubah seperti kekerapan bersenam, merokok dan amalan pemakanan.

Tekanan darah tinggi juga menjadi antara punca utama kepada serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang dan juga kebutaan.

Walaupun mudah dikesan, masalah tekanan darah tinggi masih sukar dikesan berikutan tidak ramai yang mengambil berat mengenainya dan tidak memikirkan mereka menghadapi risiko menghidapinya.

Ini menyebabkan ada antara mereka yang hadir dengan komplikasi seperti masalah jantung atau buah pinggang apabila disahkan menghidap tekanan darah tinggi.

Klasifikasi

Tekanan darah mempunyai dua bacaan iaitu tekanan darah sistolik dan diastolik. Tekanan darah sistolik adalah lebih tinggi daripada diastolik.

Tekanan darah optimum sistolik adalah 120 milimeter Merkuri (mmHg) ke bawah, sementara diastolik pada 80 mmHg ke bawah (120/80 mmHg ke bawah).

Mereka yang mempunyai tekanan darah 140/90 mmHg atau lebih diklasifikasikan sebagai menghidap tekanan darah tinggi dan mungkin perlu mengambil ubat menurunkan tekanan darah, mengikut nasihat doktor.

Seperti juga diabetes, kebanyakan penghidap tekanan darah tinggi akan menghidap penyakit berkenaan untuk seumur hidup mereka.

Sehingga kini, belum ada ubat yang boleh memulihkan sepenuhnya kedua-dua penyakit ini dan mengembalikan tahap kesihatan pesakit kepada normal.

Bagaimanapun, penghidap tekanan darah tinggi yang dikesan awal dengan tekanan di bawah 139/89 mmHg, dikenali sebagai prahipertensi, boleh diberikan rawatan awal menggunakan ubat atau mengubah cara hidup dan mengembalikan tekanan darah kepada normal.

Pengesanan dan rawatan awal ini dapat mengelakkan pesakit menghidap tekanan darah tinggi untuk seumur hidup mereka.

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia dan juga Presiden Persatuan Hipertensi Asia Pasifik, Datuk Dr. Azhari Rosman menjelaskan peratusan penghidap tekanan darah tinggi di Malaysia telah meningkat dari 33 peratus pada 1996 kepada 42.6 peratus pada 2006 mengikut laporan Tinjauan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang dijalankan setiap 10 tahun.

“Maklumat yang dikumpul menunjukkan peningkatan sebanyak 70 peratus dalam bilangan pesakit darah tinggi di negara ini.

“Walaupun masalah kesihatan ini merupakan antara faktor risiko penyakit kardiovaskular yang boleh dirawat, kebanyakan penghidap tekanan darah tinggi masih gagal dikesan,” katanya.

Menurut Dr. Azhari, ramai di kalangan mereka yang telah dikesan dan disahkan menghidap tekanan darah tinggi pula tidak mengambil ubat mengikut arahan doktor.

Tambahnya, hanya 26 peratus penghidap penyakit ini yang menjaga pengambilan ubat mereka, iaitu peratusan yang sama dengan tinjauan pada 10 tahun lalu.

Peratusan penghidap tekanan darah tinggi di Malaysia yang menjaga pengambilan ubat mereka juga jauh lebih rendah dari yang disasarkan dan jauh ketinggalan berbanding lebih 50 peratus di Amerika Syarikat (AS).

Mengikut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira satu daripada setiap lima kematian berpunca daripada penyakit kardiovaskular seperti strok dan penyakit arteri koronari, iaitu bersamaan dengan 1.6 juta kematian setiap tahun.

Sebahagian daripada kematian ini dapat dielakkan terutamanya jika berpunca daripada tekanan tinggi yang boleh dirawat sekiranya dikesan pada peringkat awal.

Menurut Dr. Azhari, dua objektif utama dunia perubatan adalah untuk memanjangkan hayat pesakit dan juga untuk mengurangkan simptom penyakit yang dihidapi mereka.

“Memandangkan tekanan darah tinggi merupakan satu penyakit yang jarang menunjukkan simptom, cabaran utama adalah untuk meyakinkan pesakit supaya terus mengambil ubat, seumur hidup mereka.

“Doktor yang merawat dan juga pesakit perlu menyedari bahawa rawatan yang berkesan bukan setakat mengawal tekanan darah tetapi juga mengekalkan tahap tekanan darah terus terkawal bagi mengelakkan komplikasi jangka panjang,” jelas beliau.

Dr. Azhari menyatakan, dengan peningkatan pemahaman mekanisme tekanan darah tinggi, terapi baru dan kini gabungan beberapa jenis ubat, telah membolehkan penyakit ini dikawal dengan lebih baik.

Tambah beliau, rawatan juga kini dijalankan serentak dengan perubahan cara hidup seperti mengurangkan berat badan, mengurangkan pengambilan garam dan kerap bersenam.

Implikasi

Antara yang paling dikhuatiri berlaku kepada penghidap tekanan darah tinggi adalah kerosakan kepada buah pinggang, jantung, otak dan mata.

Kesemua ini berlaku dalam jangka panjang jika tekanan darah tidak dikawal sehingga jantung menjadi tebal dan semakin besar, serangan jantung serta strok.

Kualiti hidup pesakit juga pasti menurun jika terpaksa bergantung kepada rawatan dialisis selepas buah pinggang mereka rosak akibat tekanan darah tidak dikawal.

Dr. Azhari menerangkan pendekatan terbaik adalah dengan pengesanan awal melalui pemeriksaan tekanan darah sekerap mungkin memandangkan lebih 64 peratus penghidap penyakit ini belum dikesan.

“Langkah pertama adalah diagnosis yang tepat iaitu mengambil bacaan tekanan darah ketika pesakit tidak mengalami tekanan, sakit atau mengambil ubat tertentu.

“Faktor-faktor tersebut akan mengganggu bacaan sebenar tekanan darah pesakit, sama ada lebih tinggi atau rendah,” ujarnya.

Beliau menegaskan penghidap yang disahkan mempunyai tekanan darah tinggi perlu mengubah cara hidup dan menjalani rawatan mengikut nasihat doktor.

Tambahnya, rawatan ubat dimulakan bagi memastikan tekanan darah berada di bawah 140/90 mmHg tetapi pesakit juga perlu mengelakkan merokok, berat badan berlebihan, kurangkan garam dan banyakkan pengambilan sayur-sayuran.

Pengambilan ubat perlu mengikut saranan doktor dan mesti dimulakan secepat mungkin jika penghidap tekanan darah tinggi dikesan mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes.

Kebanyakan pesakit tekanan darah tinggi juga mungkin perlu mengambil lebih daripada satu jenis ubat untuk mencapai sasaran tekanan darah masing-masing.

Mereka yang mempunyai penyakit buah pinggang, masalah jantung atau tekanan darah sistolik melebihi 160 mmHg pula sudah pasti akan memerlukan lebih daripada satu jenis ubat.

Dalam pada itu, Dr. Azhari membangkitkan tahap kesedaran umum tentang penyakit ini di Malaysia, terutamanya kawasan pedalaman yang masih boleh ditingkatkan lagi.

“Orang ramai cenderung merasakan diri mereka sihat sehinggalah ‘dibuktikan’ sebaliknya.

“Sebilangan penduduk negara ini ‘tidak mahu tahu’ jika mereka mempunyai tekanan darah tinggi sementara yang lain pula langsung tidak tahu apa-apa mengenainya,” katanya.

Beliau menyatakan sebilangan daripada mereka ini juga tidak mahu membuat pemeriksaan tekanan darah.

Secara umumnya, lebih ramai lelaki yang menghidap penyakit ini berbanding wanita.

Namun, dalam lingkungan umur lewat 60 tahun sehingga 70 tahun, lebih ramai wanita menghidap tekanan darah tinggi berbanding lelaki, mungkin disebabkan putus haid dan jangka hayat wanita yang lebih panjang.

Selain itu, kira-kira 90 peratus warga emas berumur lebih 75 tahun menghidap penyakit ini, terutamanya apabila keanjalan salur darah semakin berkurangan.

Kemaskini

Dalam usaha meningkatkan keberkesanan kawalan tekanan darah tinggi, Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Hipertensi Malaysia telah mengemaskini Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) untuk rawatan penyakit tersebut. Kali terakhir CPG ini dikemaskini adalah pada 2002.

Dr. Azhari menjelaskan maklumat mengenai penyelidikan besar terkini turut disertakan dalam CPG yang baru dikemaskini ini, termasuk penekanan beberapa perkara penting untuk rujukan doktor ketika merawat pesakit.

“Garis panduan ini turut disertakan dengan maklumat sebilangan besar ubat-ubatan yang boleh digunakan untuk rawatan tekanan darah tinggi, ada di antaranya merupakan tablet gabungan beberapa jenis ubat.

“Tablet gabungan beberapa jenis ubat mungkin menjadi pilihan bagi ramai pesakit kerana ia memudahkan aturan pengambilan ubat setiap hari,” katanya.

Dr. Azhari menekankan bahawa dengan memudahkan pengambilan ubat, pesakit juga lebih cenderung untuk terus mengambil ubat mengikut nasihat doktor.

Tambahnya, bagi individu tertentu, seperti mereka dengan tekanan darah sistolik melebihi 160 mmHg, golongan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes dan penyakit buah pinggang, terapi gabungan ubat mungkin adalah pilihan terbaik.

Gabungan ubat-ubat tertentu juga dilihat dapat menurunkan tekanan darah dengan lebih baik berbanding penggunaan hanya salah satu ubat berkenaan.

Fakta ini turut ditekankan di dalam CPG tersebut dan selari dengan garis panduan Persatuan Hipertensi di Eropah dan AS.

CPG yang telah dikemaskini ini boleh diperolehi melalui laman web http://www.msh.org.my atau http://www.darahtinggi.com.

Selain itu, Dr. Azhari juga menjelaskan bahawa garis panduan untuk Malaysia juga tidak jauh berbeza dengan garis panduan di Barat.

“Di AS, mereka membenarkan semua jenis ubat untuk rawatan dan menjadikan ubat jenis diuretik (kurangkan garam melalui pembuangan urin) sebagai pilihan utama.

“Malaysia pula memilih untuk mengelakkan ubat jenis Beta blocker untuk rawatan awal atau bagi golongan muda kerana ia mempunyai banyak kesan sampingan di samping meningkatkan risiko diabetes kepada pesakit,” ujar beliau.

Menurut beliau, ubat jenis Beta blocker hanya digunakan untuk rawatan awal bagi pesakit serangan jantung atau penyakit koronari.

Antara kesan sampingan ubat jenis Beta blocker adalah peningkatan berat badan, pengurangan sensitiviti insulin, mati pucuk dan memburukkan lagi penyakit vaskular lain.

Terkini

Ketua Pegawai Eksekutif Novartis Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd., Richard Abela menyatakan tekanan darah tinggi merupakan pembunuh nombor tiga di negara ini selepas serangan jantung dan kanser.

“Walaupun bilangan pesakit semakin meningkat, hanya enam daripada setiap 100 pesakit berjaya mengawal dan mencapai sasaran tekanan darah mereka.

“Oleh itu, adalah penting untuk memudahkan pengambilan ubat tetapi tetap mengekalkan keberkesanan kawalan tekanan darah,” katanya.

Bersempena pemilihan terapi menggunakan tablet gabungan beberapa jenis ubat berbanding hanya satu jenis ubat, Novartis baru-baru ini melancarkan produk terbarunya yang dikenali sebagai Exforge.

Exforge menggabungkan dua ubat yang paling popular untuk merawat tekanan darah tinggi, amlodipine dan valsartan, di dalam satu tablet.

Menurut Abela, tablet ini akan meningkatkan kualiti hidup jangka panjang pesakit, mengurangkan kesan sampingan tetapi tetap memberikan kesan yang sama baik seperti hanya menggunakan amlodipine atau valsartan.

“Exforge terbukti membawa manfaat bukan sahaja bagi kesihatan pesakit tetapi juga dari segi kos perubatan yang lebih rendah.

“Tablet ini juga mengurangkan risiko pesakit memerlukan rawatan hospital atau dimasukkan ke wad,” dakwanya.

Fakta Exforge

* penyelidikan di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan Exforge membantu sembilan daripada 10 pesakit mencapai sasaran tekanan darah diastolik di bawah 90mmHg, atau penurunan lebih 10mmHg tekanan darah diastolik dari asal.

* dikatakan dapat menurunkan kejadian edema pergelangan kaki sehingga 54 peratus berbanding penggunaan amlodipine sahaja.

* untuk rawatan tekanan darah tinggi golongan dewasa.

* mengandungi dos amlodipine dan valsartan lebih rendah tetapi berkesan seperti penggunaan salah satu ubat berkenaan sahaja.

* memudahkan rawatan pesakit dengan hanya memerlukan satu tablet sahaja setiap hari.

* tindak balas alahan (elergi) terhadap salah satu ubat lebih mudah diawasi dan ditangani dengan penggunaan dos lebih rendah.

* telah diluluskan di AS dan Kesatuan Eropah (EU) dan berada di pasaran sembilan negara EU termasuk Switzerland, Jerman dan United Kingdom (UK

Perjalanan jauh bermula dengan langkah pertama..

08102000130_edited1.jpg …..Salam buat semua pengunjung setia Blog Alam Maya,

Perasaan untuk kembali menulis Blog telah lama terpendam. Kita sering memberi alasan tiada masa atau tak cukup masa bila bercakap soal menyiapkan tugasan atau nak membuat sesuatu perkara. Idea datang mencurah-curah tapi bila bab perlaksanaan ..hancur. Justeru itu untuk tahun 2008 ini saya paksakan diri utuk menyiapkan Blog ini juga. Nasib kali ini agak baik kerana dah tak jadi Ketua Program dan dapat pula mengajar subjek IMD 252 – Digital Resource Centre. Kesempatan ini saya ambil bersama-sama student melaksanakan cita-cita yang sekian lama terpendam.Hasilnya dapat menyiapkan dua Blog iaitu Blog Suara Rakyat dan Blog Alam Maya.

Selamat tinggal laman Blog Minangkabau [http://albakri.blogspot.com] yang dah lama tak dikemaskini dan kurang mendapat sambutan lantaran tiada isu yang menarik. Kali ini semangat menulis Blog kian memuncak atas faktor mempunyai akses internet menerusi Celcom 3G yang dilanggan sebanyak RM68.00 sebulan = M2.50 sehari. Terima kasih kepada Celcom. Teknologi ini memudahkan saya mengakses maklumat menggunakan Notebook BENQ Joybook S31V Series dengan mudah walau di mana saya berada. Jadilah dunia tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari.

Perjalanan yang jauh bermula dengan langkah yang pertama. Ayat ni ada signifikannya. Ini kerana kita sering bercakap nak buat itu dan ini. Contohnya kita ingin menerbit buku. Buku itu tidak akan wujud jika kita tidak mula menaip ayat yang pertama dan seterusnya hingga buku kita siap. Justeru itu saya perlu mendisplinkan diri saya agar sentiasa membuka Blog Alam Maya ini agar ada saja maklumat yang dapat disalurkan di sini untuk rujukan dan tatapan pengunjung Blog Alam Maya.

Blog Alam Maya akan lebih tertumpu kepada pengalaman dan cetusan rasa penulis dalam melalui kehidupan bersama pelajar, masyarakat dan keluarga .Saya juga akan mengambil isu-isu yang dihantar kepada penulis menerusi e-mail yang diterima jika bersesuaian untuk dikongsi bersama pengunjung setia Blog Alam Maya.Berbanding dengan Blog Suara Rakyat yang lebih tertumpu kepada permasalahan semasa rakyat malaysia yang mahukan kehidupan yang stabil, aman, makmor dan selamat.

Satu pesan saya kepada blogger-blogger . Blog ini bukan dinding-dinding penjara yang boleh diconteng sesuka hati. Maka tulislah di ruangan komen dengan akal dan iman.

Di zaman penerbitan hanya ada dalam format buku dan majalah, tidak semua orang berpeluang menulis. Bagi satu-satu tulisan itu boleh tersiar di majalah atau terbit dalam bentuk buku, hasil tulisan mestilah mencapai standard tertentu.

Bila menulis tolong perhati beberapa perkara. Ini untuk makluman saya juga. Bahasanya kena betul, ejaan sudah tentu, susunan bahasa mesti ada rupa. Saya sering teruja bila mantan Menteri Kekwa Dato Seri Dr. Rais Yatim berucap. Bahasanya jelas dan teratur. Isinya serta fakta padat dan memukau para hadirin mendengarnya.

Dan sudah tentu, idea atau isi kandungan tulisan tersebut mesti jelas dan ada nilai. Berkali-kali saya cuba menulis dan menghantar ke surat khabar dan majalah, tetapi tulisan saya hilang begitu sahaja. Tiada khabar, dan tidak jadi berita. Namun tidaklah pula saya menyumpah seranah. Apa yang saya fikirkan ialah, mengapa artikel saya tidak tersiar. Antara kemungkinan yang ada ialah, artikel saya tidak mencapai kualiti. Mungkin juga saya menghantar artikel yang genrenya tidak menepati genre majalah. Atau saya menulis di luar musim.

Misalnya, pada tahun 2006 dan 2007, saya banyak menulis artikel ilmiah tentang pusat sumber digital untuk disiarkan di Utusan Malaysia. Tetapi menjelang 2008, apabila Malaysia masuk ke musim politik , saya tersedar yang artikel politik bukan bakat saya. Maka artikel yang saya hantar ke Utusan Malaysia tidak lagi tersiar, kerana ia tidak menepati musim. Dan saya pula tidak pandai menulis mengikut musim ketika itu. Jadi saya nak mula dengan Blog dulu.

Tetapi saya tidak patah hati. Saya terus menulis dan menulis. Ada artikel yang saya simpan dengan baik dan baca berulang kali, ada artikel yang saya lega kerana penyebarannya terhad. Tidak semua orang boleh menulis kerana seorang penulis terlebih dahulu mesti lebih banyak membaca daripada menulis. Jika penulis lebih banyak menulis dari membaca, pasti dia segera menjadi penulis yang bankrap. Saya juga terdorong untuk menulis setelah didesak oleh rakan baik saya En.Abu Bakar yang merupakan seorang penulis dan penerbit yang berjaya. Saya terhutang budi kepada beliau kerana berjaya membimbing saya menjadi penulis amatur.

Namun dengan kuasa internet, keadaan jadi berubah. Sesiapa sahaja boleh ada “majalah sendiri, surat khabar sendiri, syarikat penerbitan sendiri dan baca sendiri-sendiri”. Mungkin ia menjadi pemula kepada penyakit “syok sendiri” di dalam penulisan masing-masing.

Tentu sahaja ia bukan salah internet. Ia adalah suatu keadaan yang kita harus terima sebagai sebahagian daripada perkembangan kehidupan manusia.

Untuk diri ini, saya masih berusaha untuk lebih banyak membaca daripada menulis. Membaca juga tidak semestinya sekadar membaca bahan bertulis, tetapi membaca juga bermaksud memerhati, berfikir dan menafsir. Tulisan adalah proses memecahkan idea kepada butir-butir yang disusun agar apa yang dibaca dan difikirkan itu jelas, tersusun dan boleh dikenalpasti hujung pangkalnya.

Disiplin yang saya cuba pakai, ialah memastikan apa yang saya tulis itu mesti TEPAT dan JELAS.

Oleh itu, jika saya tulis “internet sebagai sumber maklumat masa kini”, maka saya anggap saya belum menulis apa-apa yang bermanfaat sehinggalah “menjelaskan apakah itu internet dan kenapa ianya menjadi sumber maklumat kini” itu tertulis di dalam ayat yang jelas, praktikal dan boleh dibuat.

Andai ada yang menyebut “ebakry.wordpress.com” telah meninggalkan asas perjuangan iaitu untuk mendaulatkan bangsa melayu dan memperjuangkan Negara Islam secara bersekongkol dengan DAP”, maka saya menuntut agar komen seperti ini menjelaskan dengan kerangka TEPAT dan JELAS, apakah yang dimaksudkan dengan:

“Asas perjuangan , Daulat, Bangsa Melayu, Mendaulatkan Islam, P erjuangan  Negara Islam dan Bersekongkol”.

Akhir kata jika ada jarum yang patah jangan di simpan di dalam peti . Jika ada silap dan salah jangan di simpan di dalam hati. Sebarang pertanyaan sila e-mail ke bakri88@yahoo.com.

Wassalam 

Admin Alam Maya – Tampin , 29 Mac 2008

%d bloggers like this: