Rawatan pilihan tekanan darah tinggi

Salam. Mulai minggu ini setiap hari Ahad saya akan berusaha memasukkan artikel E-Kesihatan untuk tatapan pengunjung Blog Alam Maya. Cetusan idea ini timbul atas kesedaran masalah kesihatan  yang saya, keluarga dan rakan-rakan alami. Perlu ada satu ruang untuk saya membuat rujukan.

Mingguan Malaysia , 30 Mac 2008

Rawatan pilihan tekanan darah tinggi

MASALAH tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan satu masalah kesihatan global dengan anggaran satu pertiga penduduk dewasa dunia melebihi umur 30 tahun menghidap penyakit tersebut.

Di Malaysia, mungkin lebih enam juta golongan dewasa, terutamanya lelaki menghidap tekanan darah tinggi yang boleh berpunca daripada pelbagai faktor.

Terdapat faktor yang tidak boleh diubah seperti warisan genetik tetapi ada juga yang boleh diubah seperti kekerapan bersenam, merokok dan amalan pemakanan.

Tekanan darah tinggi juga menjadi antara punca utama kepada serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang dan juga kebutaan.

Walaupun mudah dikesan, masalah tekanan darah tinggi masih sukar dikesan berikutan tidak ramai yang mengambil berat mengenainya dan tidak memikirkan mereka menghadapi risiko menghidapinya.

Ini menyebabkan ada antara mereka yang hadir dengan komplikasi seperti masalah jantung atau buah pinggang apabila disahkan menghidap tekanan darah tinggi.

Klasifikasi

Tekanan darah mempunyai dua bacaan iaitu tekanan darah sistolik dan diastolik. Tekanan darah sistolik adalah lebih tinggi daripada diastolik.

Tekanan darah optimum sistolik adalah 120 milimeter Merkuri (mmHg) ke bawah, sementara diastolik pada 80 mmHg ke bawah (120/80 mmHg ke bawah).

Mereka yang mempunyai tekanan darah 140/90 mmHg atau lebih diklasifikasikan sebagai menghidap tekanan darah tinggi dan mungkin perlu mengambil ubat menurunkan tekanan darah, mengikut nasihat doktor.

Seperti juga diabetes, kebanyakan penghidap tekanan darah tinggi akan menghidap penyakit berkenaan untuk seumur hidup mereka.

Sehingga kini, belum ada ubat yang boleh memulihkan sepenuhnya kedua-dua penyakit ini dan mengembalikan tahap kesihatan pesakit kepada normal.

Bagaimanapun, penghidap tekanan darah tinggi yang dikesan awal dengan tekanan di bawah 139/89 mmHg, dikenali sebagai prahipertensi, boleh diberikan rawatan awal menggunakan ubat atau mengubah cara hidup dan mengembalikan tekanan darah kepada normal.

Pengesanan dan rawatan awal ini dapat mengelakkan pesakit menghidap tekanan darah tinggi untuk seumur hidup mereka.

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia dan juga Presiden Persatuan Hipertensi Asia Pasifik, Datuk Dr. Azhari Rosman menjelaskan peratusan penghidap tekanan darah tinggi di Malaysia telah meningkat dari 33 peratus pada 1996 kepada 42.6 peratus pada 2006 mengikut laporan Tinjauan Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang dijalankan setiap 10 tahun.

“Maklumat yang dikumpul menunjukkan peningkatan sebanyak 70 peratus dalam bilangan pesakit darah tinggi di negara ini.

“Walaupun masalah kesihatan ini merupakan antara faktor risiko penyakit kardiovaskular yang boleh dirawat, kebanyakan penghidap tekanan darah tinggi masih gagal dikesan,” katanya.

Menurut Dr. Azhari, ramai di kalangan mereka yang telah dikesan dan disahkan menghidap tekanan darah tinggi pula tidak mengambil ubat mengikut arahan doktor.

Tambahnya, hanya 26 peratus penghidap penyakit ini yang menjaga pengambilan ubat mereka, iaitu peratusan yang sama dengan tinjauan pada 10 tahun lalu.

Peratusan penghidap tekanan darah tinggi di Malaysia yang menjaga pengambilan ubat mereka juga jauh lebih rendah dari yang disasarkan dan jauh ketinggalan berbanding lebih 50 peratus di Amerika Syarikat (AS).

Mengikut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira satu daripada setiap lima kematian berpunca daripada penyakit kardiovaskular seperti strok dan penyakit arteri koronari, iaitu bersamaan dengan 1.6 juta kematian setiap tahun.

Sebahagian daripada kematian ini dapat dielakkan terutamanya jika berpunca daripada tekanan tinggi yang boleh dirawat sekiranya dikesan pada peringkat awal.

Menurut Dr. Azhari, dua objektif utama dunia perubatan adalah untuk memanjangkan hayat pesakit dan juga untuk mengurangkan simptom penyakit yang dihidapi mereka.

“Memandangkan tekanan darah tinggi merupakan satu penyakit yang jarang menunjukkan simptom, cabaran utama adalah untuk meyakinkan pesakit supaya terus mengambil ubat, seumur hidup mereka.

“Doktor yang merawat dan juga pesakit perlu menyedari bahawa rawatan yang berkesan bukan setakat mengawal tekanan darah tetapi juga mengekalkan tahap tekanan darah terus terkawal bagi mengelakkan komplikasi jangka panjang,” jelas beliau.

Dr. Azhari menyatakan, dengan peningkatan pemahaman mekanisme tekanan darah tinggi, terapi baru dan kini gabungan beberapa jenis ubat, telah membolehkan penyakit ini dikawal dengan lebih baik.

Tambah beliau, rawatan juga kini dijalankan serentak dengan perubahan cara hidup seperti mengurangkan berat badan, mengurangkan pengambilan garam dan kerap bersenam.

Implikasi

Antara yang paling dikhuatiri berlaku kepada penghidap tekanan darah tinggi adalah kerosakan kepada buah pinggang, jantung, otak dan mata.

Kesemua ini berlaku dalam jangka panjang jika tekanan darah tidak dikawal sehingga jantung menjadi tebal dan semakin besar, serangan jantung serta strok.

Kualiti hidup pesakit juga pasti menurun jika terpaksa bergantung kepada rawatan dialisis selepas buah pinggang mereka rosak akibat tekanan darah tidak dikawal.

Dr. Azhari menerangkan pendekatan terbaik adalah dengan pengesanan awal melalui pemeriksaan tekanan darah sekerap mungkin memandangkan lebih 64 peratus penghidap penyakit ini belum dikesan.

“Langkah pertama adalah diagnosis yang tepat iaitu mengambil bacaan tekanan darah ketika pesakit tidak mengalami tekanan, sakit atau mengambil ubat tertentu.

“Faktor-faktor tersebut akan mengganggu bacaan sebenar tekanan darah pesakit, sama ada lebih tinggi atau rendah,” ujarnya.

Beliau menegaskan penghidap yang disahkan mempunyai tekanan darah tinggi perlu mengubah cara hidup dan menjalani rawatan mengikut nasihat doktor.

Tambahnya, rawatan ubat dimulakan bagi memastikan tekanan darah berada di bawah 140/90 mmHg tetapi pesakit juga perlu mengelakkan merokok, berat badan berlebihan, kurangkan garam dan banyakkan pengambilan sayur-sayuran.

Pengambilan ubat perlu mengikut saranan doktor dan mesti dimulakan secepat mungkin jika penghidap tekanan darah tinggi dikesan mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes.

Kebanyakan pesakit tekanan darah tinggi juga mungkin perlu mengambil lebih daripada satu jenis ubat untuk mencapai sasaran tekanan darah masing-masing.

Mereka yang mempunyai penyakit buah pinggang, masalah jantung atau tekanan darah sistolik melebihi 160 mmHg pula sudah pasti akan memerlukan lebih daripada satu jenis ubat.

Dalam pada itu, Dr. Azhari membangkitkan tahap kesedaran umum tentang penyakit ini di Malaysia, terutamanya kawasan pedalaman yang masih boleh ditingkatkan lagi.

“Orang ramai cenderung merasakan diri mereka sihat sehinggalah ‘dibuktikan’ sebaliknya.

“Sebilangan penduduk negara ini ‘tidak mahu tahu’ jika mereka mempunyai tekanan darah tinggi sementara yang lain pula langsung tidak tahu apa-apa mengenainya,” katanya.

Beliau menyatakan sebilangan daripada mereka ini juga tidak mahu membuat pemeriksaan tekanan darah.

Secara umumnya, lebih ramai lelaki yang menghidap penyakit ini berbanding wanita.

Namun, dalam lingkungan umur lewat 60 tahun sehingga 70 tahun, lebih ramai wanita menghidap tekanan darah tinggi berbanding lelaki, mungkin disebabkan putus haid dan jangka hayat wanita yang lebih panjang.

Selain itu, kira-kira 90 peratus warga emas berumur lebih 75 tahun menghidap penyakit ini, terutamanya apabila keanjalan salur darah semakin berkurangan.

Kemaskini

Dalam usaha meningkatkan keberkesanan kawalan tekanan darah tinggi, Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Persatuan Hipertensi Malaysia telah mengemaskini Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) untuk rawatan penyakit tersebut. Kali terakhir CPG ini dikemaskini adalah pada 2002.

Dr. Azhari menjelaskan maklumat mengenai penyelidikan besar terkini turut disertakan dalam CPG yang baru dikemaskini ini, termasuk penekanan beberapa perkara penting untuk rujukan doktor ketika merawat pesakit.

“Garis panduan ini turut disertakan dengan maklumat sebilangan besar ubat-ubatan yang boleh digunakan untuk rawatan tekanan darah tinggi, ada di antaranya merupakan tablet gabungan beberapa jenis ubat.

“Tablet gabungan beberapa jenis ubat mungkin menjadi pilihan bagi ramai pesakit kerana ia memudahkan aturan pengambilan ubat setiap hari,” katanya.

Dr. Azhari menekankan bahawa dengan memudahkan pengambilan ubat, pesakit juga lebih cenderung untuk terus mengambil ubat mengikut nasihat doktor.

Tambahnya, bagi individu tertentu, seperti mereka dengan tekanan darah sistolik melebihi 160 mmHg, golongan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes dan penyakit buah pinggang, terapi gabungan ubat mungkin adalah pilihan terbaik.

Gabungan ubat-ubat tertentu juga dilihat dapat menurunkan tekanan darah dengan lebih baik berbanding penggunaan hanya salah satu ubat berkenaan.

Fakta ini turut ditekankan di dalam CPG tersebut dan selari dengan garis panduan Persatuan Hipertensi di Eropah dan AS.

CPG yang telah dikemaskini ini boleh diperolehi melalui laman web http://www.msh.org.my atau http://www.darahtinggi.com.

Selain itu, Dr. Azhari juga menjelaskan bahawa garis panduan untuk Malaysia juga tidak jauh berbeza dengan garis panduan di Barat.

“Di AS, mereka membenarkan semua jenis ubat untuk rawatan dan menjadikan ubat jenis diuretik (kurangkan garam melalui pembuangan urin) sebagai pilihan utama.

“Malaysia pula memilih untuk mengelakkan ubat jenis Beta blocker untuk rawatan awal atau bagi golongan muda kerana ia mempunyai banyak kesan sampingan di samping meningkatkan risiko diabetes kepada pesakit,” ujar beliau.

Menurut beliau, ubat jenis Beta blocker hanya digunakan untuk rawatan awal bagi pesakit serangan jantung atau penyakit koronari.

Antara kesan sampingan ubat jenis Beta blocker adalah peningkatan berat badan, pengurangan sensitiviti insulin, mati pucuk dan memburukkan lagi penyakit vaskular lain.

Terkini

Ketua Pegawai Eksekutif Novartis Corporation (Malaysia) Sdn. Bhd., Richard Abela menyatakan tekanan darah tinggi merupakan pembunuh nombor tiga di negara ini selepas serangan jantung dan kanser.

“Walaupun bilangan pesakit semakin meningkat, hanya enam daripada setiap 100 pesakit berjaya mengawal dan mencapai sasaran tekanan darah mereka.

“Oleh itu, adalah penting untuk memudahkan pengambilan ubat tetapi tetap mengekalkan keberkesanan kawalan tekanan darah,” katanya.

Bersempena pemilihan terapi menggunakan tablet gabungan beberapa jenis ubat berbanding hanya satu jenis ubat, Novartis baru-baru ini melancarkan produk terbarunya yang dikenali sebagai Exforge.

Exforge menggabungkan dua ubat yang paling popular untuk merawat tekanan darah tinggi, amlodipine dan valsartan, di dalam satu tablet.

Menurut Abela, tablet ini akan meningkatkan kualiti hidup jangka panjang pesakit, mengurangkan kesan sampingan tetapi tetap memberikan kesan yang sama baik seperti hanya menggunakan amlodipine atau valsartan.

“Exforge terbukti membawa manfaat bukan sahaja bagi kesihatan pesakit tetapi juga dari segi kos perubatan yang lebih rendah.

“Tablet ini juga mengurangkan risiko pesakit memerlukan rawatan hospital atau dimasukkan ke wad,” dakwanya.

Fakta Exforge

* penyelidikan di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan Exforge membantu sembilan daripada 10 pesakit mencapai sasaran tekanan darah diastolik di bawah 90mmHg, atau penurunan lebih 10mmHg tekanan darah diastolik dari asal.

* dikatakan dapat menurunkan kejadian edema pergelangan kaki sehingga 54 peratus berbanding penggunaan amlodipine sahaja.

* untuk rawatan tekanan darah tinggi golongan dewasa.

* mengandungi dos amlodipine dan valsartan lebih rendah tetapi berkesan seperti penggunaan salah satu ubat berkenaan sahaja.

* memudahkan rawatan pesakit dengan hanya memerlukan satu tablet sahaja setiap hari.

* tindak balas alahan (elergi) terhadap salah satu ubat lebih mudah diawasi dan ditangani dengan penggunaan dos lebih rendah.

* telah diluluskan di AS dan Kesatuan Eropah (EU) dan berada di pasaran sembilan negara EU termasuk Switzerland, Jerman dan United Kingdom (UK

Posted on March 30, 2008, in E-Kesihatan. Bookmark the permalink. 1 Comment.

  1. Saya sedang mencari ebook kesihatan untuk beberapa jenis penyakit untuk dijadikan BONUS didalam pembelian ebook saya yang berjudul SONGSANGAN PENUAAN yang akan mula dijual pada 1 Oktober 2010.

    Tolong beri nasiha/maklumatt.

    Salam
    James

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: