Kualiti Pelajar UiTM @ ITM Dulu dan Kini – Pandangan Alma Mater

Tertarik petikan rencana daripada Utusan Malaysia 20/08/2008 tentang kualiti pelajar UiTM kini berbanding lepasan sekitar tahun 70 – 90an. Ianya perlu diambil berat terutama golongan pelajar dan pensyarah..

UiTM perlu terus tingkat kualiti

AHAD baru lepas saya cukup teruja. Saya kembali ke kampus di UiTM (dulu ITM), Shah Alam dan ke alma mater atau sekolah lama saya, Kajian Sebaran Am atau lebih popular dikenali oleh pelajar lama sebagai Mass Comm.

Dulu sekolah itu berada di tingkat 13, di atas bangunan menara yang menjadi ikon kepada institusi pengajian tersebut. Di situlah ia terletak sejak sekolah itu ditubuhkan dengan kerjasama University of Ohio pada tahun 1972. Kini ia mempunyai bangunan baru, di atas tanah sendiri. Setelah zaman berubah, nama sekolah itu juga telah berubah. Kini ia dikenali sebagai Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi.

Dalam tempoh notis tidak sampai 48 jam hujung minggu lalu, pihak fakulti diterajui dekan, Adnan Hashim menganjurkan Sesi Teh Tarik Alumni Mass Comm dan berjaya mengumpulkan kira-kira 40 bekas pelajar yang ada di antaranya ialah lulusan tahun 70-an. Tidak pasti mengapa ia diadakan tergesa-gesa, mungkin juga kerana isu politik Menteri Besar Selangor tempoh hari. Namun pertemuan home coming, yang turut diadakan serentak di fakulti-fakulti lain, cukup bermakna buat kami. Kita tolak ke tepi dulu soal politik, tapi nostalgia bertemu dengan rakan-rakan lama – terutamanya yang seangkatan dan senior cukup teruja dan nostalgik.

Kami berkumpul dan bersembang kisah-kisah lama. Ramai rakan sekuliah, telah berjaya menjawat jawatan besar di sektor-sektor korporat – dan ada yang menjadi usahawan berjaya dengan membuka agensi-agensi pengiklanan, perhubungan awam serta pembikinan filem. Rata-rata mereka memilih untuk berdikari. Mereka ini cukup profesional.

Seorang rakan sekuliah dan teman sebilik saya tahun 1985-1988, Saiful Kamar misalnya mempunyai agensi pengiklanan People and Bell yang berkembang pesat. Menamakan sebahagian, senior saya Zabidi Sanip memiliki sebuah syarikat komunikasi terkenal Concept Communications dan pengeluar filem, KiraWang. Lebih senior dari itu, Azizul Kallahan memiliki firma pengiklanan terkemuka Spencer Azizul Advertising, Shukri Rafie pula ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada syarikat pengiklanan berstatus multinasional, Publicist, DNA Communications dimiliki oleh senior Mussadikh Meah.

Semua mereka berjaya. Ia adalah hasil yang dikeluarkan oleh UiTM. Wartawan hebat juga banyak yang dihasilkan oleh sekolah itu. Antaranya Berita Harian diterajui Datuk Manja Ismail, Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Zulkifli Salleh serta bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Zakaria Wahab (kini koresponden Bernama di Singapura).

Juga rakan-rakan wartawan yang terkenal – yang kemudiannya keluar – menjadi bloggers, Rocky’s Bru (Akhiruddin Attan) dan anak kepada Tan Sri Samad Ismail, Nuraina, yang blognya mencecah sejuta pelawat beberapa hari lalu. Tidak lupa juga NGO seperti Zarinah Anwar (Sisters in Islam), bekas dekan Mass Comm yang juga alumni sulung, Datuk Hamdan Adnan (bekas pesuruhjaya Suhakam dan kini Pengerusi Institut Perhubungan Awam Malaysia), juga bekas dekan Hamidah Karim yang memiliki firma perhubungan awam terkemuka, Prestige Communications.

Itu hanyalah sekadar sebutan, banyak lagi senior dan junior yang terlibat dalam bidang perniagaan kecil dan besar serta menjawat jawatan penting di jabatan-jabatan kerajaan. Dua orang kolonel penuh yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga dihasilkan oleh sekolah komunikasi itu. Kolonel Fadzlette Merican, segelintir wanita yang memegang pangkat itu, kini ialah Pengarah Perhubungan Awam di Kementerian Pertahanan. Lebih kejutan apabila Kolonel Ahmad Afandi Mohamad, yang hadir pada majlis alumni itu, memperkenalkan dirinya sebagai komando pertama yang dilahirkan oleh Mass Comm! Beliau kini ialah Pengarah Bahagian Latihan, Jabatan Pertahanan Awam di Kementerian Dalam Negeri, juga seorang pakar menyelam skuba.

Apa yang kita lihat itu hanyalah melibatkan satu fakulti daripada banyak lagi fakulti yang diwujudkan oleh UiTM. Fakulti kejuruteraan, perniagaan, perakaunan, undang-undang masing-masing melahirkan tokoh-tokoh korporat terkemuka negara dan juga menteri Kabinet serta ahli-ahli politik.

Sekadar disebut di sini lagi, tokoh seperti Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed ialah lulusan kejuruteraan; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Osman Said; Datuk Ibrahim Ali (Ahli Parlimen Bebas); Datuk Ahmad Pardas Senin (Pengarah Urusan dan CEO UEM World); Tan Sri Salleh Sulong (bekas Pengerusi DRB-Hicom); Datuk Salleh Majid (bekas Pengerusi BSKL); Tan Sri Ahmad Kama Piah (CEO PNB) serta Pengarah Urusan Gerbang Perdana yang juga kontraktor yang ‘cuba’ membina jambatan bengkok menggantikan Tambak Johor, Datuk Yahya A. Jalil. Walaupun mereka kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, tapi fundamental mereka cukup baik.

Melihatkan kepada kecemerlangan ini, kita berharap UiTM akan terus melahirkan tokoh-tokoh seperti senior itu bagi membantu membina negara.

Namun, UiTM tidak seharusnya berpuas hati. Mungkin apa yang ditegur oleh orang luar mempunyai sedikit sebanyak kebenaran. Walaupun hak dan status institusi itu jelas tidak boleh dikompromi, namun kualitinya harus perlu terus ditingkatkan. Kualiti dulu dan sekarang banyak dipersoalkan. Kami sebagai senior juga banyak yang bercakap mengenai kualiti sekarang.

Diharapkan peneraju UiTM dapat menerima kritikan dengan membina. Kuatkan lagi organisasi alumninya kerana pelajar lama inilah yang akan memberi sokongan bagi memastikan alma mater mereka ini tidak tercicir. Kami akan terus memerhati

Posted on August 20, 2008, in E - Catatan Penulis, Motivasi Minda, Renungan Mahasiswa and tagged , . Bookmark the permalink. Comments Off on Kualiti Pelajar UiTM @ ITM Dulu dan Kini – Pandangan Alma Mater.

Comments are closed.

%d bloggers like this: