Daily Archives: February 14, 2009

Allah tahu apa yang terbaik untuk hambanya…berdoalah

Salam buat semua…

Beberapa hari ini tangan kanan terasa gatal..kata orang tua-tua, kalau tangan kanan tu gatal nampaknya nak dapat rezeki @  murah rezeki. Sememangnya ketika ini saya menunggu dengan penuh debaran keputusan kenaikan pangkat saya ke DM52. Saya mampu berdoa ,bertawakal dan berserah pada Allah agar berjaya. Saya tetap reda apa jua keputusan yang bakal saya terima. Saya tetap bersyukur kerana Allah telah memberi saya rezeki berupa biasiswa melanjutkan pelajaran di peringkat PhD. Lantas maklumat yang saya jumpa ini dijadikan motivasi buat diri saya dan pengunjung semua dari Blog MK – motivasi kejayaan.

 Kisah Penjual Tempe

Barangkali ada yang sudah membaca kisah ini. Saya terjumpa dengan cerita ini dari MySpace Bulletin. Jadi, semoga bermanfaat ya!

Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari …. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri. 

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi. Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib, bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa, “Ya Allah, aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe …. Amin” 

Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe. Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya. 

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. “Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin” 

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu !!!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. 

Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yg sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.

Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. “Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin”. Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. 

Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada. 

Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi !!!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. 

Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang. 

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, “Ya Allah, berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini.” 

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita. 

“Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi.” Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi. Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya “Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin”. 

Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu.

Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, “Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?” Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England, si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap. 

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan… 

Moral:

Pertama: Kita sering memaksakan kehendak kita kepada Tuhan sewaktu berdoa, padahal sebenarnya Tuhan lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk diri kita. 

Kedua:. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hambaNya yang lemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Tuhan akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancanganNya yang mungkin di luar jangkaan kita. 

Ketiga : Tiada yang mustahil bagi Tuhan 

Keempat : Kita sering ingin Allah memenuhi hak kita sedang kita tidak pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga SEMBAHYANG 5 WAKTU , menyegerakan solat, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan ke arah kebaikan.. oleh itu, hantarlah kepada sahabat yang lain agar kebaikan boleh sama dikongsi. Mudah-mudahan Allah suka dengan apa yang kita buat 

 

Advertisements

Rezki itu datangnya daripada Allah S.W.T…berdoalah mohon padaNYA

Salam buat tetamu AMKTS terutama pelajar usahawan ETR300 saya…

Minggu ini minggu yang amat memenatkan saya. Namun semua ini saya lakukan untuk mencari rezeki untuk keluarga. Saya terpaksa meninggalkan keluarga beberapa hari malah ada kalanya sampai seminggu tidak berjumpa keluarga kerana mencari rezeki yang halal. Ketika saya mencari sesuatu untuk ditulis tentang mencari rezeki saya terjumpa entri ini di laman Blog MK – Motivasi Kejayaan – http://motivasikejayaan.com . Menarik untuk kita kongsi bersama

Musibah Itu Adalah Rezeki oleh SITI MARIAM MD. ZAIN
“YA Allah YA Tuhanku, aku ini sudah puas hidup susah, aku minta satu sahaja ya Allah, berikanlah aku kasih sayang, martabat yang mulia, petunjuk ke jalan yang benar dan aku ingin menjadi yang terbaik.

“Sekiranya Engkau berikan ya Allah, akan aku bantu wanita dan fakir miskin yang senasib dengan aku dahulu.”

Bagi pengasas produk kesihatan dan kecantikan, Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim, beliau tidak pernah melupakan janji-janji yang dibuat kepada Tuhan.

Malah sehingga kini, setiap malam ketika menunaikan solat tahajud, beliau masih terus berdoa tentang perkara yang sama.

Menurut Rozita, doa tersebut bukan bermakna beliau cemburu dengan kejayaan orang lain tetapi kerana berhasrat menjadi yang lebih baik daripada yang terbaik.

“Saya mengaku saya bukan alim. Apa yang saya buat adalah kerana Allah. Saya pernah cuba meninggalkan janji-janji saya, tetapi jiwa saya keluh kesah,” akuinya ketika ditemui sebaik sahaja merasmikan cawangan terbarunya di Kuala Lumpur.

Selain cawangan tersebut, Rozita, seorang wanita yang asalnya tidak punya apa, kini telah mempunyai dua cawangan perniagaan Sendayu Tinggi, masing-masing di Bukit Tinggi dan Bukit Raja, kedua-duanya terletak di Klang. Selain turut mempunyai sebuah kilang sendiri di Pelabuhan Barat.

Berpegang kepada pepatah “Hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat,’‘ Rozita tidak seperti kebanyakan wanita lain yang hanya berserah kepada nasib tetapi bangun melawan kemiskinan yang melingkungi hidupnya sehingga kini muncul sebagai antara wanita paling berjaya.

Kepada wartawan SITI MARIAM MD. ZAIN, ibu cekal berusia 40 tahun ini menceritakan kisah suka duka hidup dalam usaha menjadikan impiannya satu realiti.

Apa perasaan puan sekarang?

Sebenarnya saya macam tidak percaya rezeki yang Allah beri. Tetapi jauh di sudut hati, semakin hari saya semakin takut dan berdebar. Tak tahu kenapa. Mungkin takut orang kata. Kita ini hendak mendapat sebuah kejayaan memang susah. Tetapi untuk mengekalkannya lebih susah. Mampukah saya mengekalkannya?

Pernah terfikir sampai ke tahap hari ini?

Tidak pernah termimpi atau terkeluar dari mulut yang saya akan ada walau RM1 juta kerana apa yang saya harapkan ialah dapat keluar daripada belenggu kemiskinan yang menyebabkan saya hidup melarat.

Bagaimana puan melihat kejayaan ini?

Kalau kata bersyukur ya. Tetapi hendak kata bangga tidak. Kalau sebelum ini saya belum naik, saya buat ucapan tanpa membaca skrip, tetapi bila ada cawangan begini, macam-macam bermain di fikiran. Mampukah saya mempertahankan perniagaan ini? Mampukah saya membayar hutang dan buat yang lebih baik lagi?

Apa yang membimbangkan puan?

Saya tidak mahu orang cakap peniaga Melayu ini `hangat-hangat tahi ayam.’ Saya juga takut saya mungkin jadi riak. Saya hendak menjadi seorang ikon. Saya pernah ditawarkan gelaran Datuk tetapi kurang berminat kerana niat saya buat bisnes, bukan hendak menjadi ahli politik atau hendak terkenal atas nama Da-tuk. Saya hendak orang kenal saya sebagai seorang perempuan yang susah, yang prihatin tetapi mempunyai semangat tinggi dan boleh membimbing perempuan lain melalui perniagaan Sendayu Tinggi.

Usaha ini merupakan satu perjuangan?

Pada saya ini satu jihad kepada diri sendiri. Pada saya, tanpa rezeki, tanpa kesihatan, kecantikan dan pelajaran, martabat itu tidak akan wujud. Dalam keluarga, saya rasa kalau suami tidak boleh pandang kita, kita pun tidak boleh menyumbang banyak kepada keluarga, saya rasa rugi hidup sebagai perempuan.

Kalau perempuan zaman Rasulullah atau perempuan yang berfikiran secara kampung, mereka kata, tidak apa, suami ada, dia boleh sara, anak-anak akan beri duit. Konsep hidup saya, tidak pernah mengharapkan bila tua nanti anak-anak jaga, saya tua nanti, suami ada. Dari dulu saya tidak reti hendak meminta-minta.

Dari mana puan dapat kekuatan ini?

Saya pernah bercerai. Saya pernah mengalami kehidupan yang teramat susah. Tiada siapa pandang saya. Saya sendiri kata, kenapa saya mesti menjadi seorang petani? Saya rasa saya muda, bertungkus-lumus membanting tulang, bersengkang mata untuk hidup. Anak dalam keadaan bahaya kerana ditinggalkan untuk mencari rezeki sehingga tengah malam. Sampai bila saya harus begini? Mesin atau kereta sekalipun, kalau lasak sangat boleh rosak enjin. Walaupun saya tidak mempunyai pelajaran tinggi, tetapi kalau Lim Goh Thong boleh berjaya, kenapa saya tidak boleh menjadi sepertinya?

Saya bertanya sampai bila hendak jadi macam ini? Hidup melarat. Apabila fikir balik, saya bersyukur kenapa saya tidak disayangi oleh orang (sebak) sebab menganggap anak perempuan membawa malang. Disisihkan, dihina, dinista. Saya malah berterima kasih dengan seksaan yang diterima. Jika saya dimanja, dibelai, dipuja, saya tidak akan jadi seperti hari ini.

Saya senang bukan kerana peninggalan harta emak ayah, bukan kerana pelajaran, bukan kerana dorongan suami tetapi kerana kekuatan jiwa sebagai seorang ibu. Saya rasa bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak. Saya tidak mahu kerana kelemahan terlalu menaruh harapan – tak mengapa, suami sara saya. Tak mengapa anak-anak akan jaga saya, akhirnya masa depan anak-anak saya gelap.

Boleh gambarkan kesusahan masa lalu?

Saya pernah bersalin ketika itu ada duit hanya RM1.85 sen. Saya pernah bersalin (anak ketiga) tanpa ada bidan. Lahir sendiri, tidak ada lampin. Saya tidak pernah menangis kerana miskin. Tetapi sebab anak, saya menangis. Saya miskin dan tidak makan, saya tidak hairan. Saya minta kain buruk dari rumah orang, saya kata untuk buat kain lap (kesat) kaki. Sebenarnya saya hendak balut anak saya. Basuh pinggan pakai berus sabut. Setiap kali Hari Raya, saya tidak pernah tunjuk pada emak yang saya miskin, tidak pernah balik raya. Saya beli baju lelong 50 sen untuk anak-anak.

Pengalaman yang saya tidak boleh lupa ialah makanan saya kalau setakat nasi berlaukkan sayur atau tidak makan, sudah jadi macam lali, tidak rasa apa. Kalau orang tengok saya berimej korporat, sebenarnya saya tidak selesa berkawan dengan orang korporat. Saya lebih selesa berkawan dengan orang macam saya dulu. Sebab saya rasa itu adalah saya. Apa yang orang tengok saya sekarang, adalah sebagai pengasas sebenarnya. Saya terpaksa membawa diri saya – orang tengok nampak cantik tapi hakikatnya jiwa saya masih jiwa saya yang dulu.

Apa pengajaran yang puan belajar daripada pengalaman ketika hidup susah?

Bila saya pernah hidup susah, orang tidak menghiraukan saya, nyawa pun tidak ada nilai, sengsara dalam usia muda, saya kata, beri masa umur saya sebelum 40 tahun, saya mesti dapat sesuatu, sekurang-kurangnya rumah sebuah, kereta dan sedikit simpanan untuk hari tua.

Tetapi bila saya sudah berjaya, kalau hendak duduk senang lenang memang boleh, tetapi saya fikir balik, saya tidak boleh mengambil keputusan seperti itu, ramai perempuan lain yang boleh saya gilap. Mungkin kalau tidak jadi macam saya, dapat pendapatan antara RM50,000 atau RM100,000 sebulan pun sudah memadai.

Kebanyakan net working saya dapat angka itu. Saya rasa gembira. Saya selalu pesan pada net working saya, ingat asal-usul kita. Kekayaan, kemiskinan adalah ujian. Kalau niat untuk jihad, insya-Allah rezeki itu akan berkat, hati akan damai.

Puan belajar dari kehidupan sendiri?

Alam sekeliling adalah universiti saya. Kebanyakannya saya belajar daripada susah payah kehidupan. Saya sebenarnya tidak suka tengok sikap perempuan yang percaya perkahwinan adalah satu jaminan hidup. Pada saya perempuan ini sebenarnya bijak. Perempuan boleh berkembang. Walaupun tanpa pelajaran, banyak suri rumah berjaya buat jualan langsung.

Saya duduk dengan emak tidak lama, sebab berkahwin atas pilihan keluarga. Hidup saya tertekan. Sebab itu saya nampak setiap musibah yang datang adalah satu rezeki yang kita tidak tahu tetapi Allah turunkan. Kerana itu saya kata, kita patut belajar daripada musibah. Kita tidak boleh anggap sesuatu benda itu kemalangan, contoh macam anak saya meninggal dunia. Orang tuduh punca anak saya mati lemas kerana perceraian. Kita perlu menerima takdir dengan terbuka. Kita patut melihat kesilapan kita yang lepas mungkin Allah balas sebagai penyucian dosa. Dalam masa sama, kerana orang tuduh saya tidak bertanggungjawab, saya buktikan kerana sayalah, anak-anak saya hari ini mendapat yang terbaik.

Mengapa berlaku tuduhan begitu?

Mereka menyalahkan saya kerana sakit hati, saya bercerai. Masa itu, anak balik kampung, bercuti, saya pula bekerja di Kuala Lumpur. Jadi mereka menyalahkan saya, “itulah emaknya pergi cari duit, anak mati lemas sebab dia lah tu.” Lagi satu, saya tengok sikap orang yang berfikiran sempit. Mereka selalu memandang negatif kepada orang lain. Mereka menganggap perempuan yang menjadi ibu tunggal ini sebagai beban. Bagi saya, perempuan ini bersikap lemah, mereka perlu disayangi, diberi perhatian tetapi dalam masa yang sama juga, saya menyalahkan kaum perempuan itu sendiri.

Kenapa?

Kerana perempuan menggunakan kelemahan mereka untuk meraih simpati dan untuk menangis. Orang selalu berpandangan negatif kepada perempuan yang bercerai. Mereka kata, “baru kau tahu, baru kau rasa.” Kita patut beritahu pada diri sendiri, perceraian bukan satu benda yang sakit. Kita tidak akan mati kerana perceraian. Tetapi kita mesti buktikan walaupun bercerai, kita boleh hidup. Saya sering beritahu kepada ibu-ibu tunggal bahawa setiap perempuan itu mempunyai aura sendiri. Mereka mempunyai kekuatan tersendiri.

Bagaimana puan menghadapi tuduhan?

Saya tidak menyalahkan mereka. Orang boleh tuduh atau cakap apa sahaja. Saya kena buktikan, mungkin kalau bukan tahun ini, tahun yang akan datang.

Sebab di mana saya waktu itu? Saya mencari rezeki, anak saya meninggal masa dia tidak ada bersama saya. Tetapi saya lawan balik perasaan itu. Saya kata, ini adalah qadak dan qadar. Mungkin orang menuduh saya sebab Allah hendak menegur saya. Bila saya cakap begitu, maknanya, orang yang mengata saya tidak salah dan saya kata diri saya juga tidak bersalah. Jadi saya rasa ringan. Dan jalan terbaik ialah memperbaiki diri sendiri.

Apa yang berlaku selepas itu?

Dua tahun saya tidak boleh tengok air. Dalam masa yang sama anak itu meninggal, saya mengandung dua bulan. Tetapi saya kuatkan semangat. Saya cakap pada diri saya, hidup harus diteruskan. Kalau saya ikut tension, anak dalam perut mungkin akan menerima kesan. Saya dekatkan diri dengan Tuhan, cari rakan yang boleh dipercayai untuk beri saya ketenangan.

Apa tindakan puan selanjutnya?

Bila saya tengok orang banyak memandang remeh terutama apabila kita miskin, tiada pelajaran, hidup susah, saya cuba berjanji pada diri sendiri – saya hendak hidup seperti orang lain. Saya hendak ada maruah dan martabat diri sendiri, mahu jadi seseorang. Alhamdulillah, saya dapat kerja, sebagai pegawai pengurusan harta. Kemudian saya cakap pada diri hendak menjadi pemilik syarikat. Sekali lagi Allah tunaikan.

Satu pengajaran yang saya dapat ialah saya dapat mendidik orang yang memandang sinis terhadap saya sebelum ini, malah mereka semua baik dengan saya sekarang.

Puan tidak berdendam dengan orang yang memandang hina pada puan dahulu?

Tidak kerana bagi saya, memaafkan seseorang itu adalah saat-saat yang indah – kata Fauziah Latiff – Dendam Yang Terindah. Tetapi jauh di sudut hati saya ada rasa sedih, sebab orang sayang bukan kerana ikhlas tetapi sebab kejayaan saya sekarang.

Awal tadi puan kata tiada kelulusan, bagaimana boleh mendapat kerja yang baik?

Terus terang saya katakan, saya juga pernah bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan di sebuah syarikat percetakan selain bekerja di hotel. Saya sebenarnya bijak semasa sekolah. Peperiksaan tidak pernah dapat lebih daripada nombor empat. Memang saya pernah tinggal di Felda tetapi selepas bercerai saya duduk di bandar. Di bandar, saya nampak saya mesti ada sesuatu untuk memajukan diri. Saya perbaiki kehidupan dengan mengambil kursus-kursus tetapi hanya di peringkat asas. Saya belajar selok-belok komunikasi dengan pelanggan dan sebagainya.

Semasa bekerja sebagai pegawai pengurusan harta, saya melihat kelemahan mentaliti dan sikap orang Melayu. Saya mengkaji kelemahan mereka untuk dijadikan iktibar supaya saya tidak menjadi seperti mereka. Semasa saya minta kerja ini, saya beritahu saya pernah bekerja sekian, sekian, tetapi saya tidak bawa sijil kerana hilang. Walhal memang tiada sijil. Saya terpaksa menipu. Saya kata, beri saya peluang enam bulan. Kalau saya mampu buat kerja, ambil, jika tidak, buanglah saya. Alhamdulillah, saya dapat buktikan yang terbaik. Saya bertahan selama 10 tahun. Dalam masa yang sama, saya mula mencuba perniagaan Sendayu Tinggi.

Berapa modal permulaan puan?

Saya bermula dengan modal RM400, hasil gadaian barang kemas. Semasa di pengurusan harta, saya banyak terlibat di bahagian promosi dan operasi. Bila pelanggan datang, saya akan tanya, sudah kahwin ke belum atau mungkin ada masalah keluarga. Kemudian saya akan syorkan mereka menggunakan produk herba saya. Suami-suami yang datang jumpa saya selepas itu mengaku isteri mereka macam anak dara. Dari situ perniagaan saya berkembang.

Kemudian saya cuba pula menjual ubat menguruskan badan. Pada awalnya tidak laku kerana saya sendiri gemuk. Apabila saya kurus, saya keluarkan gambar semasa gemuk dan tunjuk perbezaan sebelum dan selepas makan ubat. Sebenarnya saya cuba buat pinjaman bank tetapi ketika itu bank tidak layan. Alasan mereka, belum ada perniagaan herba yang berjaya di Malaysia. Saya sakit hati. Saya kata pada diri sendiri, saya akan buktikan yang saya boleh berjaya. Saya tidak perlukan bank untuk berniaga. Dan saya semat dalam hati, mungkin satu hari nanti bank yang akan datang mencari saya. Betul. Sekarang semua bank cari saya.

Apa reaksi puan?

Biasa sahaja. Bagi saya bank mana yang boleh bagi kadar paling rendah saya ambil. Sebenarnya hendak berniaga kita tidak perlu ada modal banyak. Yang penting kita ada keyakinan diri, apa yang kita buat bagus dan jangan tipu. Buat ikhlas kerana Allah. Jadilah nanti.

Formula kejayaan puan?

Saya fokuskan minda saya dengan kata-kata. Dan saya akan berusaha ke arah itu.

Falsafah hidup puan?

Saya sentiasa ingat pesan bapa, jangan menipu, jangan rasuah dan jangan buat benda-benda bodoh – minum arak. Pesan saya pada diri saya – jangan riak dan takbur.

Bagaimana sikap puan sebenarnya?

Saya mempunyai banyak karakter. Saya boleh menjiwai sebagai seorang perempuan kampung, sebagai wanita korporat, ibu dan hakikat yang orang tidak tahu ialah orang nampak saya lemah lembut tetapi sebenarnya saya sangat tegas dan keras hati. Tiada apa yang boleh mengatakan tidak dalam kamus hidup saya.

Kalau saya hendak sesuatu, saya pasti akan dapat. Sebab pada saya, dalam dunia ini tiada perkara yang tidak boleh. Selagi tidak cuba, kita tidak akan tahu. Itu diri saya yang sebenar. Di rumah, saya adalah ibu dan isteri, seperti suri rumah yang lain.

Hobi puan?

Memasak dan tengok orang makan apa yang saya masak. Saya juga suka menghias. Semua pejabat saya, saya hias sendiri. Selain itu, saya suka melihat satu benda mustahil tetapi boleh menjadi kenyataan.

Apa yang pelik tentang diri puan?

Saya tidak suka pakai kasut. Saya biasa turun kereta, kejar orang dengan berkaki ayam semata-mata untuk memberi sedekah. Saya juga masih berkeliaran di pasar-pasar termasuk pasar borong dan pasar malam. Saya masih shopping di kedai-kedai bundle. Saya tak pernah rasa malu untuk berpakaian begitu sebaliknya saya rasa lebih cantik.

Puan seorang yang kedekut dan memakai pakaian berjenama?

Kalau saya kedekut saya tidak akan membantu wanita-wanita malang dan fakir miskin. Pada saya, daripada kita membazir duit tidak tentu fasal, membeli kereta mewah dan pakaian mahal, lebih baik kita sedekah duit buat amal jariah. Kita membeli pakaian berjenama, padahal kalau beli di Petaling Street, sama sahaja.

Orang kata puan pun semakin berubah?

Kalau orang kata kemewahan boleh mengubah saya, tidak. Orang nampak saya mungkin sebagai pengasas (Sendayu Tinggi) tetapi saya tetap saya yang seperti dulu.

Apa makna perkahwinan bagi puan?

Pada saya, tidak guna kalau kita berkahwin tetapi perasaan kita terseksa. Kita cuba mendapatkan kebahagiaan itu tetapi daripada kita kena pukul, sakit hati, tiada komitmen dalam kehidupan, saya rasa lebih selesa mengakhirinya, saya tak nak `sakit.’ Malangnya orang anggap saya berkahwin banyak kali kerana suka-suka. Saya sedar banyak kata-kata di luar tentang saya. Orang boleh bercakap apa sahaja. Tetapi saya yang melalui kehidupan, saya tahu apa yang berlaku dan apa perlu dibuat.

Ada orang kata puan gila glamor, suka promosi diri sendiri menerusi iklan?

Kalau saya guna model orang lain, dia tak pakai Sendayu Tinggi, dia cuma jual produk. Tetapi itulah diri saya sebenarnya – pergi ke hutan, berjumpa nenek kebayan yang mempunyai rahsia kesihatan terbaik. Saya daripada perempuan biasa yang tiada apa-apa, kemudian menjadi lebih berkeyakinan setelah menggunakan Sendayu Tinggi.

Iklan itu kisah benar?

Itulah apa yang berlaku sebenarnya. Ia kisah diri saya. Tetapi nenek tersebut bukan nenek kebayan, tetapi bidan tua yang uzur. Saya pembuat, saya pengarah dan saya pengasas. Mudahnya saya adalah Sendayu Tinggi dan Sendayu Tinggi adalah saya. Kalau ada orang kata saya cuba promosi diri semata-mata kerana mencari glamor, saya rasa saya boleh buat lebih daripada itu.

Apa harapan puan?

Saya hendak mendapat satu kebahagiaan hidup berkeluarga yang berkekalan dan penuh berkat. Sebab saya rasa kalau kaya sahaja, hati tidak tenteram, tidak guna.

Hebat bukan? Jika anda fikirkan anda pernah melalui satu zaman kesusahan, maka fikirkan pula beliau )

Hentikan Sambutan Hari Kekasih..!

Salam buat semua pengunjung setia…

Seawal pagi lagi saya telah menerima sms mengucapkan selamat hari kekasih daripada salah seorang pelajar. malah ketika bertemu beberapa pelajar untuk menghadiri sukan integrasi fakulti saya disapa oleh beberapa pelajar bertanyakan..Sir, selamat  valentine day..Saya tidak bersuara. Dalam hati, saya mengucap panjang. Lantas saya menulis dalam entri hari ini…

Ros Itu Merah, Seri Pagi itu biru, Maaf Hari Valentine Itu Bukanlah Untuk Mu.

Boleh dikatakan dikebanyakan tempat hari ini , kalau tidak seantero dunia, slogan “mari kita mulakan musim percitaan” mula berkumandang.  Ia adalah musim dimana jambangan ros dan kad ucapan bertukar tangan, dan ucapan cinta dan janji-setia (waluapun selalunya dimungkiri) dilafaskan. 14 Febuari juga dikenali sebagai “Hari Valentine”.

Jadi apa isu atau masalah  terhadap semuanya itu? Kemukinan orang akan bertanya. Bukankah ia adalah hari untuk kita mengingati pasangan kita dan meluahkan perasaan cinta yang membara kepada pasangan kita, atau memberi sedikit kebebasan kepada para remaja untuk memadu cinta dan asmara? Hari Valentine bukan hanya untuk mencurahkan perasaan cinta kepada pasangan seseorang sahaja, tetapi lebih jauh dari itu, adalah untuk menghapuskan halangan yang menghalang pernyataan perasaan cinta kepada orang-orang yang pada hari-hari biasa sukar untuk didekati.

Kisah St. Valentine.

Di kurun yang ke 5 masihi, pihak gereja katholik berhasrat untuk menghapuskan perayaan kesuburan musyrik yang diraikan oleh orang-orang Rom sejak dari kurun ke 4 sebelum masihi. Pada bulan Febuari setiap tahun akan diadakan cabutan bertuah untuk meraikan para remaja lelaki yang memasuki peringkat akil baligh dihadapan “tuhan” Lupericus. Bagi para remaja perempuan mereka juga akan mengambil bahagian didalam cabutan bertuah ini, dengan meletakkan nama mereka didalam sebuah kotak dan nama-nama tersebut akan dicabut secara rambang oleh para remaja lelaki tadi. Remaja perempuan yang dicabut namanya oleh remaja lelaki tadi akan dihadiahkan kepadanya. Pasangan sejoli tadi akan keluar dari tempat penyembahan tersebut sebagai “sepasang suami-isteri”, yang akan menikmati keseronokan dari hubungan tersebut selama setahun sehingga tiba masa untuk cabutan bertuah pada tahun yang berikutnya.

Pihak gereja tidak meredhai ciri pergaulan bebas yang ada pada penyembahan tersebut dan berusaha untuk mengakhirinya dengan melantik “wali (saint) cinta”, yang akan dianugerahkan kemulian bagi mengantikan ritual kepada Lupericus. Mereka memilih seorang bishop yang bernama Valentine yang telah dihukum bunuh pada kurun ke 3 masihi. Hukuman yang yang terimanya adalah kerana beliau menyangah Emperor Claudius yang mengharamkan perkahwinan kerana menganggap perkahwinan meyebabkan orang lelaki menjadi askar yang tidak berkualiti, kerana mereka enggan untuk meninggalkan keluarga mereka untuk ke medan perang. Valentine telah menerima mereka untuk dikahwinkan secara rahsia, sebuah jenayah yang mengakibatkan dia dijatuhi hukuman bunuh. Bagaimanapun sebelum dilaksanakan hukuman tersebut dia dikatakan sempat mengirimkan ucapan selamat tinggal kepada anak perempuan orang yang memenjarakannya yang mana dia telah jatuh cinta kepadanya ketika dia berada di penjara. Ucapan tersebut berbunyi, “Dari Valentine dikau”.

Hari Valentine – Perayaan Pergaulan Bebas.

Perayaan Hari Valentine kini telah berkembang menjadi suatu perayaan yang jauh terpesong dengan niat Valentine. Sesungguhnya adalah ironi untuk melihat bahawa perayaan tersebut telah bertukar wajah dari apa yang diinginkan oleh pihak gereja suatu masa dahulu, iaitu untuk menjaga institusi perkahwinan, dengan menguna-pakai nama Hari St Valentine. Kini Hari Valentine dan apa yang dikaitkan dengannya adalah jauh berbeza ; iaitu,kembalinya pergaulan bebas dalam masyarakat, jalinan hubungan yang diakhiri dengan perzinaan, kehamilan yang tidak dikehendaki, penguguran janin secara gelab dan segala aktiviti yang membawa kepada keruntuhan maruah dalam masyarakat..

Malangnya, keburukan yang lahir dari perayaan tidak bermoral ini telah menjangkiti setiap lapisan masyarakat. Tanpa menghiraukan kesan buruk kepada masyarakat, para kapitalis telah menggunakannya sebagai sambutan peluang perniagaan secara besar-besaran. Television dan akhbar akan menyiarkan iklan-iklan promosi program khas, dan acara-acara sambutan yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat kapitalis ini. Ia dilakukan semata-mata untuk mencari keuntungan pantas tanpa memikirkan kesan buruk daripadanya terhadap keharmonian dan kerukunan kepada masyarakat akibat dari pergaulan bebas yang dilahirkannya.

Sebenarnya realiti Hari Valentine hanya merupakan sebuah cerminan masalaah yang bukan hanya terhad kepada 14hb Febuari sahaja. Kerana konsep yang sama, yang mendorong manusia untuk melampaui sempadan akhlak pada hari itu, adalah juga konsep yang diamalkan oleh masyarakat barat sepanjang tahun, iaitu; pergaulan dan sex bebas.

Kalimah “kebebasan sex” merupakan titik graviti bagi nilai asas kepada sekularisma yang mana dunia barat membangunkan pandangan hidup di atasnya. Dengan memisahkan agama dari urusan kehidupan, semua nilai dan pengawalan diri tunduk kepada ransangan hawa nafsu individu semata-mata. Dikala membebaskan diri dari kezaliman dan ketundukan kepada para pemimpin gereja Eropah dikurun ke 16 masihi, sekularisma di masa yang sama telah memperhambakan manusia kepada perhambaan yang lebih dahsyat; iaitu, ketundukan terhadap hawa-nafsu.

Di atas nama “kebebasan” (freedom), ratusan ribu nyawa telah melayang melalului peperangan yang secara terancang dicetuskan, sebagaiamana di Afganistan dan Iraq. Natjah dari ‘kebebasan’, manusia di Dunia Barat terdedah kepada peningkatan bahaya dan ketakutan disebabkan oleh rompakan, rogol, dan pembunuhan, yang dilakukan oleh mereka-mereka yang dibesarkan di dalam masyarakat yang meyakini “kebebasan” untuk memenuhi tuntutan hawa-nafsu merupakan sebuah lesen untuk seseorang memenuhi kemahuan mereka dengan mengorbankan hak-hak orang yang tidak bersalah yang berada didekeliling mereka. Apabila konsep “kebebasan” ini diterapkan kepada hubungan lelaki dan perempuan, maka “pergaulan bebas” ini akan membawa kepada keadaan porak-peranda, kacau-bilau dan kenestapaan di dalam masyarakat.

Pandangan Islam Terhadap Hari Valentine.

Umat Islam mestilah memiliki kepekaan dalam mengenal-pasti mekanisma yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah kefahaman kita terhadap Islam. Apabila Umat Islam digalakkan untuk melibatkan diri didalam smabutan Hari Valentine mereka diperdayakan untuk meninggalkan nilai-nilai akhlak, standard bertingkah-laku, kehormatan dan maruah yang Islami, yang diperintahkan untuk dipelihara didalam menjalinkan perhubungan lelaki dan wanita.

Adalah amat perlu bagi kaum muslimin untuk menyedari bahawa Islam mengkehendaki mereka menjadikan tempat rujukan mereka sebagai hak ekslusif bagi Hukum Syarak. Ia adalah satu-satunya sumber yang sah bagi perayaan, tradisi atau amalan yang dibenarkan oleh Islam bagi Muslimin untuk mengikutinya. Islam adalah bertentangan secara total dengan konsep sekularisma. Ia juga tidak memberi sebarang ruang kepada konsep batil “kebebasan individu”. Sebaliknya, Islam hadir untuk mengatur urusan manusia didalam setiap aspek secara menyeluruh, membebaskan mereka dari ketundukan terhadap manusia atau hawa-nafsu mereka sendiri, dan memimpin mereka kepada hukum Pencipta mereka yang sempurna.

كان لأهل المدينة في الجاهلية يومان من كل سنة يلعبون فيهما
فلما قدم النبي صلى الله عليه وسلم المدينة قال قد كان لكم يومان
تلعبون فيهما وقد أبدلكم الله بهما خيرا منهما يوم الفطر ويوم النحر

Diriwayatkan bahawa Anas Bin Malik (ra) berkata; “Apabila Nabi saw berhijrah ke Madinah, peduduk disana memiliki dua hari perayaaan Jahiliyyah. Dia sawbersabda, “Apabila aku datang kepada kamu, kamu memiliki dua hari perayaan yang kamu sambut ketika masa jahiliyyah. Allah telah mengantikannya denga hari yang lebih baik, iaitu hari raya Fitr dan hari raya Adha.”

Berasaskan ini adalah jelas bahawa Islam telah melarang sambutan terhadap perayaan, samada ianya krismas, tahun baru, deepavali, dan sebagainya. Dari asal-usulnya Hari St Valentine adalah perayaan musyrikin yang menganjurkan pergaulan bebas didalam masyarakat dan ianya terpesong jauh dari apa yang dikehendaki oleh Islam. Oleh itu, menyambut dan melibatkan diri dengannya adalah diharamkan oleh Islam.

Perhubungan Lelaki dan Wanita di Dalam Islam.

Di Dalam Islam perhubungan lelaki dan wanita telah diatur secara jelas dan interaksi sesama mereka tidak dibangunkan berdasarkan denga merasangan naluri sexual antara satu dengan yang lainnya atau melihat antara satu dengan lainnya didalam bentuk pemuasan hawa-nafsu. Oleh itu aktiviti yang boleh membawa kepada pergaulan bebas dan intim diantara mereka mestilah diberhentikan.

Setiap bentuk keakraban dan kegairahan diantara mereka hanya dihadkan kepada bentuk perhubungan yang benar, iaitu perkahwinan.

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض
للبصر وأحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء

Ibnu Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; “Wahai para pemuda. Sesiapa sahaja dikalangan kamu yang mampu utnutk berkahwin maka berkahwinlah, kerana ia akan membantu kamu untuk menjaga pandanagan dan mengawal kemaluannya. Dan barang siapa tidak berkemampuan untuk berkahwin maka berpuasalah, kerana ia akan menjadi pelindung bagi kamu.”

Penerapan Islam memastikan bahawa masyarakat yang dibangunkan bebas dari pergaulan bebas dan akan mempamerkan ketinggian kesedaran akhlak. Syariat Islam mengiktiraf keperluan dan naluri lelaki dan wanita dengan mensyariatkakan pernikahan. Institusi kekluargaan akan dilindungi dan diperkukuhkan dengan pengharaman perbuatan sumbang, perzinaan, pergaulan bebas antara jantina dan mengatur kod pakaian. Dengan hukum-hukum yang ada padanya, Islam akan menghalang dari sebarang kemungkinan kepada masyarakatnya untuk dijangkiti oleh penyakit masyarakat yang diakibatkan oleh pergaulan bebas sebagaimana yang dihidapi oleh masyarakat Barat.

Allah SWT berfirman,

وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (al Israa’, ayat 32)

Wassalam. Semuga kita semua kembali ke jalan yang diredai Allah S.W.T

%d bloggers like this: