Hak cipta & Inovasi

Salam untuk semua…

Seperti biasa cuti semester saya banyak menghabiskan masa menimba ilmu secara percuma. Saya merasakan bekerja di UiTM amat bertuah. Apa tidaknya segala kursus adalah percuma termasuk makan. Malah ada kursus yang diikuti mencecah ratusan ringgit jika kita membayarnya sendiri. Jika berkesempatan berkursus di ILQAM Shah Alam diberikannya tempat tinggal bertaraf 3 bintang. Syukur kepada Allah swt kerana diberikan tempat bekerja di UiTM.

Semalam saya mengikuti kursus dan taklimat Inovasi. Nama tidak tersenarai tapi naluri hati cukup kuat untuk turut serta kerana ingin menimba ilmu baru. Saya merakamkan terima kasih kepada Dr. Norzaidi , Pn. Intan & En. Hisyam atas segala ilmu yang dikongsi. Ceramah yang diberi menjadikan saya bersemangat dan teruja.

Saya di tempatkan bersama fasilitator En. Hisyam dalam kumpulan ICT. Taklimat En. Hisyam amat menarik dan teruja. Namun tiba-tiba mata saya terkelip-kelip dan kaku bila melihat sesuatu yang dipaparkan oleh En. Hisyam seakan biasa saya melihatnya. Projek yang dipaparkan memenangi 1 pingat emas dalam pertandingan IDD 2009 & 1 pingat gangsa di ITEX 2009. Wow, hati saya cukup gembira. Namun ianya cuma sementara kerana kejayaan itu tidak membawa apa-apa makna pada saya. Hasil saya telah diambil tanpa izin . Adakah wajar seorang rakan pensyarah yang pernah saya didik mengambil hasil idea dan inovasi saya dan dipertandingkan tanpa kebenaran dan izin saya.

Saya menjadi serba salah samada mahu menghantar surat aduan ke PNC RMI atau tidak. Saya dicadangkan untuk membuat aduan kepada PNC RMI. Namun adakah tindakan saya itu baik untuk semua pihak terutama masa depan pihak yang diadu. Ini kerana soal mencuri hak cipta orang lain adalah salah dari segi undang-undang. Alaihai…boleh tak pengunjung blog dan rakan-rakan memberi pandangan. Saya berdoa agar Allah swt memberi gerak hati saya agar membuat keputusan dan tindakan yang terbaik untuk saya .

RENUNGAN
Sila baca tulisan Dr Jeniri Amir, Pensyarah UNIMAS.

Membina Integriti Penulis

DALAM keghairahan menerbitkan hasil penulisan dan mencipta nama, pelbagai gejala hasil daripada tindakan tidak sihat dan tidak bertatasusila dilakukan oleh pengarang. Antara gejala tersebut ialah penulis menggunakan data, statistik, maklumat, idea, pemikiran, ungkapan, dan bahasa berdasarkan karya pengarang lain tanpa keizinan atau tanpa memaklumkan sumbernya.

Tindakan ini jelas bercanggah dengan etika dan undang-undang hak cipta kerana menceroboh harta intelek pengarang asal. Menciplak karya orang lain merupakan jenayah intelektual dalam dunia kreatif, penulisan, penyelidikan, dan kesarjanaan. Perbuatan itu sama berat dengan jenayah sosial dan dipandang hina dari segi moral dan agama.

Menciplak hampir sama tua dengan kegiatan penulisan, samalah dengan kegiatan pelacuran yang sama tua dengan kehidupan. Isu tersebut sering dibincangkan dalam kalangan sarjana, ilmuwan, penyelidik, pengarang, editor, dan penerbit. Banyak universiti di dalam dan di luar negara yang menyediakan garis panduan penulisan untuk mengelakkan perbuatan itu dan mengenakan tindakan tegas terhadap pelakunya.

Beberapa tahun lalu, perbuatan berkenaan agak berleluasa dan mencetuskan polemik apabila beberapa orang pengarang muda menciplak cerpen dan puisi penulis lain, terutamanya karya penulis mapan. Cerpen, puisi dan karya deskriptif, termasuk esei dan rencana lebih cenderung diciplak, berbanding novel dan drama.

Dari segi undang-undang hak cipta, menciplak merupakan perbuatan meminjam, mengambil dan mengeluarkan semula apa-apa bentuk karya secara keseluruhan atau sebahagian karya berkenaan, sama ada dalam bentuk asal ataupun dalam bentuk terbitan tanpa keizinan pengarang asal. Mengikut Glosari Istilah Kesusasteraan, plagiarisme ialah penciplakan atau kegiatan dalam kesusasteraan, yakni mengambil karya orang lain yang pernah tersiar atau diterbitkan yang dianggap mungkin sudah dilupakan oleh pembaca, lalu diakui oleh penulis itu sebagai karyanya yang asli. Plagiarisme merupakan perbuatan mengemukakan gagasan, pendapat, kesimpulan, fakta, hasil penemuan penyelidikan, dan wacana olahan orang lain sebagai karya sendiri, iaitu tanpa membuat attribution atau menyatakan sumber, atau melakukannya tanpa mengikut konvensi piawai penulisan.

Undang-undang pertama yang memberi hak cipta pengarang ialah Statue of Anne yang diluluskan oleh Parlimen British pada 1710. Pada peringkat awal perundangan, pihak Inggeris memperakukan bahawa pengarang memiliki hak terhadap karyanya berdasarkan prinsip natural justice.

Hak cipta ialah hak eksklusif yang dberikan oleh undang-undang kepada pencipta atau penerima haknya untuk mengawal pengeluaran semula atau berbagai-bagai bentuk penggunaan semula karya berkenaan bagi sesuatu tempoh tertentu. Dengan kata lain, hak cipta ialah berdasarkan premis bahawa para pencipta mempunyai ?hak kepunyaan? terhadap karya mereka. Hak cipta menjadi harta intelek mereka, dan mereka berhak melindunginya. Penulis perlu mendapat izin daripada pengarang asal sesuatu karya jika ia mahu menyedut dan mengubahsuainya.

Mengikut Akta Hak Cipta 1987, karya yang layak mendapat perlindungan hak cipta ialah karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi, dan siaran. Dalam konteks ini, ?karya sastera? termasuklah novel, cerita, buku, risalah, manuskrip, syair, lakonan, drama, arahan pentas, filem, skrip siaran, biografi, karangan, surat, laporan, memorandum, dan artikel.

Mengikut akta ini, karya sastera, muzik, dan seni tidak layak mendapatkan hak cipta, melainkan usaha yang mencukupi telah dilakukan untuk menjadikan karya itu bersifat asli, telah ditulis, direkodkan atau dijadikan dalam bentuk bahan. Maksudnya, undang-undang ini tidak melindungi idea, tetapi pernyataan atau penzahiran idea itu dilindungi.

Hak cipta mengesahkan bahawa sesuatu karya ialah hak peribadi eksklusif pengarang atau penerbit. Hak eksklusif itu penting kepada penerbit kerana ini akan membolehkannya menjual dan mengedarkan hasil karya tersebut sebanyak dan seluas mungkin. Tanpa undang-undang ini, sesiapa sahaja boleh meniru, mencedok, mencuplik, memplagiat, mencetak rompak dan menyebarkan karya berkenaan sesuka hati.

Menciplak sama buruk dengan perbuatan menyamun. Justeru, hak cipta dapat menggalakkan pengarang untuk berkarya, merangsang mereka untuk berkreativiti, dan seterusnya memelihara nama baiknya. Hak cipta merupakan harta penulis yang melindungi kepentingannya daripada dilanggar oleh pihak lain. Secara khusus, undang-undang ini melindungi karyanya daripada diterbitkan, dicetak, dan diedarkan oleh pihak lain, tanpa kebenarannya.

Pengarang dapat dilindungi dari segi hak ekonomi dan hak moral, justeru mengelakkan dirinya daripada dieksploitasikan atau hasil penat lelahnya diperah oleh pihak lain. Pendapatan penerbitan tentu akan terjejas teruk jika pihak lain boleh menerbitkan, mencetak rompak dengan memplagiat karya pengarang, dengan sesuka hati.

Penerbit akan dapat mengurangkan risiko daripada mengalami kerugian dengan adanya undang-undang ini. Jika perbuatan menciplak dibenarkan, sesiapa sahaja akan melakukan perbuatan itu tanpa perlu bersusah payah, dan akhirnya karya yang beredar di pasaran ialah karya tiruan, ciplakan, dan palsu. Perkara ini tidak membantu pertumbuhan dan perkembangan dunia sastera juga penulisan, yang subur dan sihat.

Tidak akan ada pengarang yang berminat untuk berkarya jika orang lain meraih keuntungan daripada keringatnya. Kita tidak harus membenarkan gejala ?Lembu punya susu, sapi punya nama? dalam bidang penulisan dan kesusasteraan kita ini berleluasa.

Dari segi moral, hak cipta akan merangsang penulis untuk terus berkarya, kerana apabila karyanya diterbitkan, pengarang akan dibayar honorarium atau royalti. Keghairahan pengarang untuk berkarya ekoran daripada ganjaran dan pengiktirafan yang diterimanya memberikan kesan positif terhadap pertumbuhan budaya dan tamadun bangsa. Karya berkenaan akan memperkaya korpus ilmu dalam bidang berkenaan.

Hak moral ini memberikan kepuasan kepada pengarang namun, pengiktirafan tidak akan bermakna jika sesiapa sahaja boleh menceroboh haknya, iaitu boleh memplagiat, meniru, mencedok, mencetak, dan seterusnya …

Posted on June 24, 2009, in E - Catatan Penulis. Bookmark the permalink. 2 Comments.

  1. Sedara,
    Anda perlu berterus terang dengan beliau tentang hal ini. Lakukan sesuatu agar hak kita terpelihara. Sikap berterus terang dalam hal ini amat perlu untuk mengelak ketegangan berterusan. Saya syorkan berbincang dengan beliau adar memasukkan nama anda sekali.

    • Terima kasih ustasz. Saya telah menghantar e-mail kepada beliau. Alasannya cukup mudah. 1. Beliau dinasihatkan oleh panel penilai untuk meletakkan nama kakitangan dan pelajar UiTM Sarawak sahaja. 2. Meminta maaf. Adakah itu memadai untuk saya terutama isu mendaftar hak saya ke harta intelek.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: