Monthly Archives: June 2012

Makan ikut sunnah Nabi

KITA berpantang dan mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor hanya membenarkan kita makan dalam kuantiti sedikit atau makanan tertentu.

Hakikatnya, amalan mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan salah. Kita patut mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki fasa 40-an.

Tabiat pemakanan yang boleh diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).

Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.

Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib zaman lampau sering bermadah ‘lapar itu ubat’.

Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan.

Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari perut – pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal.

Nabi Muhammad ada menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti makanan, petua kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu makanan.

Baginda lebih mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Dalam satu hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika Rasulullah diberitahu si fulan sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda bersabda: Berikanlah kepadanya ‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia mencuci perut seseorang seperti kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!”

Talbiinah ialah sejenis makanan masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan tidak membebankan perut. Bagi kita di sini, mungkin oat dicampur susu sesuai sebagai makanan yang lembut dan tidak membebankan perut serta fungsi pencernaan.

Makanan ini juga kaya serat dan banyak membantu proses penghadaman.

Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius.

Contoh peristiwa Nabi Muhammad s.a.w mengajar pemilihan makanan ketika sakit ialah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Maajah dari Ummul Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya:

“Suatu hari Rasulullah berkunjung ke rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru sembuh daripada sakit. Kami mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah suci), lalu Rasulullah mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya.

“Baginda berkata kepada Ali: Engkau baru saja sembuh daripada sakit.

“Lalu Ali berhenti memakannya. Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada mereka berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai bagimu!”

Larangan Rasulullah kepada Ali yang baharu sembuh daripada sakit agar tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah pencegahan atau berpantang. Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi mudarat bagi mereka yang baru sembuh.

Ketika baru pulih daripada sakit, perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa penyakit dari dalam perut dan badan.

Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan Ali mengambil masakan daripada gandum kerana air daripada gandum itu dapat menguatkan tubuh.

Namun, baginda membenarkan pengambilan makanan yang tidak sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar menghilangkan keinginan.

Perkara menarik mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak membataskan pada satu jenis makanan saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan makanan bersifat panas dengan sejuk.

Dari segi komposisi makanan, baginda tidak pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak.

Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat cepat dicernakan dan lambat dicernakan, serentak.

Rasulullah tidak mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.

Kita juga patut mengelak mengambil makanan segera dan minuman berkarbonat, walaupun sedap, tetapi memudaratkan apatah lagi mengandungi perasa tiruan dan sintetik.

Rasulullah gemar makanan yang mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan.

Mengenai madu, Nabi mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan.

Madu dicampurkan dengan air dingin sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem pencernaan.

Selain jenis dan kuantiti makanan, satu aspek lain penjagaan kesihatan Rasulullah s.a.w ialah cara baginda duduk ketika makan, iaitu dalam posisi ‘mutawarikan’, iaitu meletakkan pinggul pada kedua-dua tumit dan menempatkan telapak kaki kiri di atas punggung kaki kanan.

Postur badan penting dalam menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan. Contohnya, baginda melarang

makan sambil bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya tidak makan sambil bersandar.”

Baginda juga melarang minum sambil berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai disiplin khusus dari segi minuman.

Berdasarkan petunjuk Nabi s.a.w, makruh minum selepas melakukan olahraga atau sebaik selesai melakukan sesuatu kerja berat atau sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua itu tidak baik untuk kesihatan. Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu apabila selesai aktiviti berat atau makan, kemudian minum.

Rasulullah s.a.w mempunyai petua unik ketika minum. Dalam satu hadis dari Anas bin Malik bermaksud: “Rasulullah minum dengan tiga kali nafas. Baginda berkata: Hal itu lebih melegakan dan lebih menyihatkan.”

Maksud bernafas tiga kali ketika minum ialah dengan menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu bernafas atau seolah-olah menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas di dalam gelas ketika minum ditemui dalam hadis bermaksud:

“Jika seseorang di antara kalian minum maka janganlah bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah direnggangkannya dari bibir.”

Dan, pasti yang paling penting dan mungkin dilupakan kita apabila makan atau minum ialah membaca ‘basmalah’ (membaca Bismillah) dan mengucapkan ‘hamdalah’ (Alhamdulillah) apabila selesai. Ia banyak keberkatan dari segi kesihatan.

Rahsia besar Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis bermaksud:

“Anas berkata: Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika berselera dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”

Justeru, semua orang tidak wajar menunggu hari tua atau berusia lewat 40-an untuk memulakan amalan pemakanan sihat. Mulakanlah sekarang!

Kepentingan menjaga pemakanan dapat difahami daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan at-Turmudzi dari Abdullah al-Ashory, Rasulullah saw bersabda bermaksud:

“Sesiapa dalam keadaan badan sihat, aman dalam penghidupan dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.”

Petikan daripada Blog Islam Itu Indah :- http://www.islamituindah.my

Peristiwa Israk & Mikraj bukti kukuh kehidupan di akhirat

Maklumat ni dipetik daripada Blog:- http://www.islamituindah.my

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Maha suci Allah yang menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)

Israk adalah perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Jerusalem, manakala Mikraj pula perjalanan Rasulullah SAW menuju ke langit ketujuh, Sidratul Muntaha, ‘Arasy dan Singgahsana (Kursi) Allah dan menerima wahyu dari Allah Yang Maha Besar.

Peristiwa ini menunjukkan kepentingan masjid dalam kehidupan umat Islam sebagai pusat pembinaan ummah dari aspek kerohanian, mental dan fizikal sekali gus pemangkin kebangkitan umat.

Di masjid itulah, umat Islam memulakan kehidupan seharian mereka seterusnya meneruskan kelangsungan hidup dengan cemerlang seperti diasaskan Rasulullah SAW seperti firman Allah bermaksud: Hanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid Allah itu ialah orang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat itu) maka diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Taubah, ayat 18)

Peristiwa Israk dan Mikraj bukan peristiwa biasa dan bukan sekadar perjalanan melihat kehebatan alam semesta. Lebih dari itu, perjalanan Israk dan Mikraj mempunyai hikmah cukup mendalam bagi Rasulullah SAW secara peribadi dan umat Islam keseluruhannya.

Imam Fakhrurrazi dalam Tafsir al-Kabir menyatakan, apa yang dimaksudkan firman Allah dalam surah al-Isra’ memberi pengertian Allah mahu memperlihatkan apa disediakan sebagai balasan kepada hamba-Nya di akhirat, keindahan syurga dan kecelakaan neraka.

Baginda SAW diperjalankan dengan makhluk Allah bernama Buraq menjelajah bumi dan angkasa menyaksikan petala langit, diperlihatkan Kursi, Arasy, kekuasaan dan kebesaran Allah, maka ini menambahkan keimanan dan keyakinan dalam jiwa Baginda untuk terus berusaha menyampaikan risalah tauhid.

Salah satu peristiwa penting yang sewajarnya diambil perhatian ialah peristiwa pensyariatan ibadat solat lima waktu pada malam itu. Ibadat solat difardukan kepada umat Islam melalui pensyariatan secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu dan perantaraan Jibril

Pensyariatan solat secara langsung daripada Allah sekali gus mengangkat martabat dan nilai solat di sisi Allah. Solat adalah tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia mendirikan agama. Sebaliknya sesiapa meninggalkan solat bermakna meruntuhkan agama.

Pendek kata, perumpamaan ibadat solat dalam kehidupan Muslim ibarat sungai mengalir di depan rumah yang kita mandi lima kali sehari bagi membersihkan diri. Ini perumpamaan dibuat Rasulullah bagi menggambarkan kelebihan solat.

Peristiwa Israk dan Mikraj sebenarnya mengukuhkan kepercayaan Muslim kepada perkara ghaib yang merakamkan waktu silam, kini dan akan datang, sekali gus mempamerkan kekuasaan serta keagungan Allah.

Begitulah penghayatan menyeluruh seharusnya difahami dan dipraktikkan oleh setiap Muslim dalam kehidupan seharian melalui peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj. Ia bertindak sebagai pemangkin ke arah pengukuhan akidah, pengamalan ibadat secara konsisten dan perhiasan akhlak terpuji untuk meraih keredaan Ilahi serta kebahagiaan sejati di dunia dan akhirat.

Tanggal 27 Rejab setiap tahun, umat Islam di seluruh pelosok dunia akan menyambut peristiwa Israk dan Mikraj. Majlis memperingati peristiwa itu disambut penuh meriah dengan majlis ceramah supaya umat Islam mengambil iktibar terkandung dalam peristiwa terbabit.

Khasiat Buah Kurma

Khasiat Buah Kurma

Ramai antara kita nak tahu atau perlu tahu kenapa kita perlu makan kurma. Kenapa kita hanya membeli buah kurma pada bulan Rammadan sahaja sedangkan ianya perlu dimakan setiap hari.

1. KESIHATAN

A. Mencegah Penyakit Kronik Seperti Penyakit Jantung & Kencing Manis

Berdasarkan kajian Prof. Madya Asiah Zain, Pensyarah Sains Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi, Universti Putra Malaysia (UPM) menyatakan “Dari segi perubatan, amalan memakan kurma setiap hari boleh mengurangkan rsiko seseorang itu diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis kerana mengandungi zat galian seperti potasium, kalsium dan zat besi yang boleh menyihatkan sel darah merah”. (BERITA HARIAN, SELASA, 20 FEBRUARI, 2001)

B. Merangsang Dan Memudahkan Kehamilan.

Prof. Madya Asiah juga berkata buah kurma mampu memanaskan badan dan merangsang keshatan wanita hamil dan anak yang dikandung, memudahkan wanita bersalin dan memberi tenaga.

C. Membunuh Kuman Dalam Badan.

Saidina Ali r.a. meriwayatkan “Barangsiapa yang memakan 7 butir tamar setiap hari, ia akan membunuh semua kuman di dalam badannya”.

2. KECERDASAN DAN KECERGASAN

A. Kecerdasan Minda Dan Membantu Proses Tumbesaran.

Menurut Prof. Madya Asiah lagi, kanak-kanak digalakkan memakan lebih banyak buah kurma kerana ia memberi khasiat dari segi proses pembesaran, sekaligus membentuk minda kanak-kanak yang sihat.

B. Tenaga Segera

Maksud Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Maryam: Ayat 25-26:

“Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu”.

Kurma mampu membekal tenaga dengan pantas ke dalam tubuh mereka yang memakannya. Maka dengan itu Allah s.w.t. menyuruh Saidatina Maryam memakan buah kurma agar beliau mendapat bekalan tenaga untuk melahirkan Nabi Isa a.s., kerana kehilangan tenaga dan darah yang banyak.

3. KEPERIBADIAN

Membentuk Sifat Penyabar, Bersopan Santun Dan Cerdas Pemikiran.

Maksud Hadis Rasulullah s.a.w. :

“Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya”.

“Melentur buluh biar dari rebungnya”. Islam mengajar kita mendidik anak sejak dari dalam kandungan ibu agar anak yang bakal dilahirkan itu dibentuk mengikut rohaniah yang suci serta memiliki tubuh badan yang sihat dan minda yang cerdas. Buah kurma merupakan makanan yang mampu membentuk insan yang berperibadi luhur. Seorang pelatih dari Universiti Sains Malaysia (USM) menulis tentang hadis ini dalam majalah Mingguan Wanita.

4. KEBERKATAN

A. Mengambil Keberkatan Sewaktu Kelahiran.

Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya;

“Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma”.

B. Makanan Yang Paling Sempurna.

Maksud Sabda Rasulullah s.a.w. :

“Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan”.

Dengan sebab itulah Prof. Madya Asiah menyatakan lagi “Pengambilan buah kurma itu tidaklah sekadar penting pada bulan puasa atau ketika seseorang itu sedang berpuasa, sebaliknya memakan kurma wajar dijadikan amalan harian”.

==========================================

Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : “Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakan buah-buahan dengan kurma masak.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :

“Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : “Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu”.

Khasiat kurma “Ajwah” sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa ‘Alaihi Salam sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25 :

Tafsirnya : “Dan gocangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak.”
(Surah Maryam : 25)

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin. Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.

Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu. Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak damit dan pembentukan darah dan sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.

Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud :

“Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa terguk air.

(Hadis riwayat Ahmad)

Sehubungan dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, beliau berkata : “Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalla berbuka dengan kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.

Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma :

Maksudnya : Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata : “Saya mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : “Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.

Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.

Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian mereka khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. Khasiat kurma juga adalah sesuai dan baik bagi pertumbuhan kanak-kanak.

Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala

Strategi AirAsia Menjual 500,000 Tiket Melalui Facebook

Strategi AirAsia Menjual 500,000 Tiket Melalui Facebook

Penggunaan Facebook sebagai alat pemasaran merupakan trend terkini di dalam dunia perniagaan.

Percuma dan mudah untuk digunakan, Facebook turut membolehkan peniagaan berskala kecil turut sama melakukan aktiviti pemasaran seperti mana perniagaan berskala besar.

Terdapat banyak buku dan penulisan yang mengulas mengenai teknik dan strategi memasarkan produk dan servis menggunakan Facebook.

500,000 Jualan Tiket – Bagaimana?

Untuk artikel kali ini, penulis berkongsi dengan pembaca Majalah Niaga bagaimana AirAsia berjaya menjual 500,000 tiket penerbangan hanya dalam masa 24 jam melalui Facebook sekaligus menjimatkan sebahagian kos pemasaran mereka.

Kandungan artikel ini diolah kembali daripada salah satu bab di dalam buku penulis ‘Magika Facebook untuk Bisnes’.

AirAsia hanya mula mewujudkan Fan Page (kini dikenali sebagai Facebook Pages) di Facebook pada bulan April 2009.

Selain Malaysia, AirAsia juga mewujudkan Fan Page untuk pelanggan-pelanggan di Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Hong Kong, Taiwan, United Kingdom, India, Australia dan New Zealand.

Kesemua Fan Page AirAsia ini merekodkan jumlah Fan seramai sekitar 1.4 juta orang. Untuk pasaran China pula, AirAsia menggunakan media sosial negara tersebut, Renren, sebagai Fan Pagenya.

Ini kerana negara tersebut tidak membenarkan Facebook beroperasi di sana.

Kempen Mind Blowing Fare

Dengan menggunakan kelebihan jumlah Fan Page yang ramai, AirAsia melancarkan promosi kempen ‘Mind Blowing Fare’ melalui Fan Pagenya pada tahun 2010.

%d bloggers like this: