Category Archives: Renungan Mahasiswa

Pesanan untuk anak didik ku..

Salam ukhwah untuk semua pengunjung AMKTS. Bicara ini khas untuk semua anak didik ku…

25 pesanan luqmanul hakim

01 – Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yg dalam, banyak manusia yg karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yg bernama TAKWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL kepada ALLAH.

02 – orang – orang yg sentiasa menyediakan dirinya utk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari ALLAH. Orang yg insaf dan sedar setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemulian dari ALLAH juga.

03 – Hai anakku; orang yg merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kpd ALLAH, maka dia tawadduk kepada ALLAH, dia akan lebih dekat kepada ALLAH dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada ALLAH.

04 – Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

05 – Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06 – Dan selalulah berharap kpd ALLAH tentang sesuatu yg menyebabkan untuk tidak menderhakai ALLAH. Takutlah kpd ALLAH dengan sebenar benar takut ( takwa ), tentulah engkau akan terlepas dr sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

07 – Hai anakku; seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yg telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak melamunkan hal hal yg tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dr tempatnya semula itu lebih mudah drpd memberi pengertian kpd orang yg tidak mahu mengerti.

08 – Hai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengankat batu besar dan besi yg amat berat, tetapi akan lebih lagi drpd semua itu, adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yg jahat.

09 – Hai anakku; janganlah engkau mengirimkan orang yg bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak menjadi utusan.

10 – Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yg berbahaya.

11 – Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah utk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedang kan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12 -Janganlah engkau makan sampai kenyang yg berlebihan, kerana sesungguhnya makan yg terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kpd anjing sahaja.

13 – Hai anakku; janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14 – Makanlah makananmu bersama sama dengan orang orang yg takwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15 – Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yg mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16 – Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.

17 – Selalulah baik tuturkata dan halus budibahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yg pernah memberikan barang yg berharga.

18 – Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yg tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yg mengharapkan sesuatu darimu.

19 – Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yg tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riya~ yg akan mendatangkan cela pd dirimu.

20 – Hai anakku; janganlah engkau condong kpd urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21 – Hai anakku; usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yg busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22 – Hai anakku; janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yg menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yg pasti, janganlah engkau bertanya sesuatun yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia siakan hartamu.

23 – Barang sesiapa yg penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yg pendiam akan selamat daripada berkata yg mengandungi racun, dan sesiapa yg tidak dapat menahan lidahnya dr berkata kotor tentu akan menyesal.

24 – Hai anakku; bergaullah rapat dengan orang yg alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata katanya bagaikan tanah yg subur lalu disirami air hujan.

25 – Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yg selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yg engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yg bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.

Pesan saya…jadilah manusia yang berilmu

Advertisements

Tips membentang pesembahan yang menarik.

Hari ini  pelajar berpusu-pusu datang ke bilik saya untuk menunjukkan hasil projek akhir mereka. Kehilangan saya selama seminggu kerana bercuti membuatkan mereka menunggu. Satu kumpulan untuk projek digital resource centre dan satu lagi projek keusahawanan. Sudah kemestian saya memastikan pelajar di bawah selian saya akan membentamgkan projek menggunakan Macromedia Director. Saya ingin berkongsi mengenai tips pembentangan. Ini saya utarakan kerana minggu ini dan minggu depan ramai pelajar saya akan melakukan pembentangan final project mereka. Saya bukanlah seorang yang pakar dalam bidang ini. Tetapi hasil pembacaan dan seminar yang dihadiri, saya kongsi salah satu tips dalam membentang ‘persembahan’ yang menarik. Antara menjadikan diri anda seorang pembentang yang hebat adalah dengan mempunyai suara yang mantap dan lontaran suara yang jelas.

Ingin tips suara yang mantap dan menarik? Apa kata anda ikut tip di bawah:

Ramai mengatakan bahawa beliau dikurniakan suara yang hebat. Tetapi sebenarnya Steve Chandler yang merupakan penulis buku 100 Ways to Motivate Yourself mengatakan ada rahsia di sebalik kemantapan suaranya. Biasanya perjalanan ke tempat seminarnya mengambil masa lebih daripada sejam. Oleh itu, beliau akan menyanyi bagaikan orang gila ketika menujunya. Ternyata perkara tersebut berbaloi.

Mungkin beliau akan dicop gila jika orang lain melihatnya, tetapi risiko yang diambil berbaloi. Dengan menyanyi lebih kuat, suaranya bertambah mantap. Pernafasannya bertambah baik dan suaranya mememenuhi seluruh dewan dengan berkesan.

Selamat mencuma. Saya selalu lakukannya ketika memandu dalam perjalanan ke kuliah.

Hentikan Sambutan Hari Kekasih..!

Salam buat semua pengunjung setia…

Seawal pagi lagi saya telah menerima sms mengucapkan selamat hari kekasih daripada salah seorang pelajar. malah ketika bertemu beberapa pelajar untuk menghadiri sukan integrasi fakulti saya disapa oleh beberapa pelajar bertanyakan..Sir, selamat  valentine day..Saya tidak bersuara. Dalam hati, saya mengucap panjang. Lantas saya menulis dalam entri hari ini…

Ros Itu Merah, Seri Pagi itu biru, Maaf Hari Valentine Itu Bukanlah Untuk Mu.

Boleh dikatakan dikebanyakan tempat hari ini , kalau tidak seantero dunia, slogan “mari kita mulakan musim percitaan” mula berkumandang.  Ia adalah musim dimana jambangan ros dan kad ucapan bertukar tangan, dan ucapan cinta dan janji-setia (waluapun selalunya dimungkiri) dilafaskan. 14 Febuari juga dikenali sebagai “Hari Valentine”.

Jadi apa isu atau masalah  terhadap semuanya itu? Kemukinan orang akan bertanya. Bukankah ia adalah hari untuk kita mengingati pasangan kita dan meluahkan perasaan cinta yang membara kepada pasangan kita, atau memberi sedikit kebebasan kepada para remaja untuk memadu cinta dan asmara? Hari Valentine bukan hanya untuk mencurahkan perasaan cinta kepada pasangan seseorang sahaja, tetapi lebih jauh dari itu, adalah untuk menghapuskan halangan yang menghalang pernyataan perasaan cinta kepada orang-orang yang pada hari-hari biasa sukar untuk didekati.

Kisah St. Valentine.

Di kurun yang ke 5 masihi, pihak gereja katholik berhasrat untuk menghapuskan perayaan kesuburan musyrik yang diraikan oleh orang-orang Rom sejak dari kurun ke 4 sebelum masihi. Pada bulan Febuari setiap tahun akan diadakan cabutan bertuah untuk meraikan para remaja lelaki yang memasuki peringkat akil baligh dihadapan “tuhan” Lupericus. Bagi para remaja perempuan mereka juga akan mengambil bahagian didalam cabutan bertuah ini, dengan meletakkan nama mereka didalam sebuah kotak dan nama-nama tersebut akan dicabut secara rambang oleh para remaja lelaki tadi. Remaja perempuan yang dicabut namanya oleh remaja lelaki tadi akan dihadiahkan kepadanya. Pasangan sejoli tadi akan keluar dari tempat penyembahan tersebut sebagai “sepasang suami-isteri”, yang akan menikmati keseronokan dari hubungan tersebut selama setahun sehingga tiba masa untuk cabutan bertuah pada tahun yang berikutnya.

Pihak gereja tidak meredhai ciri pergaulan bebas yang ada pada penyembahan tersebut dan berusaha untuk mengakhirinya dengan melantik “wali (saint) cinta”, yang akan dianugerahkan kemulian bagi mengantikan ritual kepada Lupericus. Mereka memilih seorang bishop yang bernama Valentine yang telah dihukum bunuh pada kurun ke 3 masihi. Hukuman yang yang terimanya adalah kerana beliau menyangah Emperor Claudius yang mengharamkan perkahwinan kerana menganggap perkahwinan meyebabkan orang lelaki menjadi askar yang tidak berkualiti, kerana mereka enggan untuk meninggalkan keluarga mereka untuk ke medan perang. Valentine telah menerima mereka untuk dikahwinkan secara rahsia, sebuah jenayah yang mengakibatkan dia dijatuhi hukuman bunuh. Bagaimanapun sebelum dilaksanakan hukuman tersebut dia dikatakan sempat mengirimkan ucapan selamat tinggal kepada anak perempuan orang yang memenjarakannya yang mana dia telah jatuh cinta kepadanya ketika dia berada di penjara. Ucapan tersebut berbunyi, “Dari Valentine dikau”.

Hari Valentine – Perayaan Pergaulan Bebas.

Perayaan Hari Valentine kini telah berkembang menjadi suatu perayaan yang jauh terpesong dengan niat Valentine. Sesungguhnya adalah ironi untuk melihat bahawa perayaan tersebut telah bertukar wajah dari apa yang diinginkan oleh pihak gereja suatu masa dahulu, iaitu untuk menjaga institusi perkahwinan, dengan menguna-pakai nama Hari St Valentine. Kini Hari Valentine dan apa yang dikaitkan dengannya adalah jauh berbeza ; iaitu,kembalinya pergaulan bebas dalam masyarakat, jalinan hubungan yang diakhiri dengan perzinaan, kehamilan yang tidak dikehendaki, penguguran janin secara gelab dan segala aktiviti yang membawa kepada keruntuhan maruah dalam masyarakat..

Malangnya, keburukan yang lahir dari perayaan tidak bermoral ini telah menjangkiti setiap lapisan masyarakat. Tanpa menghiraukan kesan buruk kepada masyarakat, para kapitalis telah menggunakannya sebagai sambutan peluang perniagaan secara besar-besaran. Television dan akhbar akan menyiarkan iklan-iklan promosi program khas, dan acara-acara sambutan yang dianjurkan oleh syarikat-syarikat kapitalis ini. Ia dilakukan semata-mata untuk mencari keuntungan pantas tanpa memikirkan kesan buruk daripadanya terhadap keharmonian dan kerukunan kepada masyarakat akibat dari pergaulan bebas yang dilahirkannya.

Sebenarnya realiti Hari Valentine hanya merupakan sebuah cerminan masalaah yang bukan hanya terhad kepada 14hb Febuari sahaja. Kerana konsep yang sama, yang mendorong manusia untuk melampaui sempadan akhlak pada hari itu, adalah juga konsep yang diamalkan oleh masyarakat barat sepanjang tahun, iaitu; pergaulan dan sex bebas.

Kalimah “kebebasan sex” merupakan titik graviti bagi nilai asas kepada sekularisma yang mana dunia barat membangunkan pandangan hidup di atasnya. Dengan memisahkan agama dari urusan kehidupan, semua nilai dan pengawalan diri tunduk kepada ransangan hawa nafsu individu semata-mata. Dikala membebaskan diri dari kezaliman dan ketundukan kepada para pemimpin gereja Eropah dikurun ke 16 masihi, sekularisma di masa yang sama telah memperhambakan manusia kepada perhambaan yang lebih dahsyat; iaitu, ketundukan terhadap hawa-nafsu.

Di atas nama “kebebasan” (freedom), ratusan ribu nyawa telah melayang melalului peperangan yang secara terancang dicetuskan, sebagaiamana di Afganistan dan Iraq. Natjah dari ‘kebebasan’, manusia di Dunia Barat terdedah kepada peningkatan bahaya dan ketakutan disebabkan oleh rompakan, rogol, dan pembunuhan, yang dilakukan oleh mereka-mereka yang dibesarkan di dalam masyarakat yang meyakini “kebebasan” untuk memenuhi tuntutan hawa-nafsu merupakan sebuah lesen untuk seseorang memenuhi kemahuan mereka dengan mengorbankan hak-hak orang yang tidak bersalah yang berada didekeliling mereka. Apabila konsep “kebebasan” ini diterapkan kepada hubungan lelaki dan perempuan, maka “pergaulan bebas” ini akan membawa kepada keadaan porak-peranda, kacau-bilau dan kenestapaan di dalam masyarakat.

Pandangan Islam Terhadap Hari Valentine.

Umat Islam mestilah memiliki kepekaan dalam mengenal-pasti mekanisma yang digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah kefahaman kita terhadap Islam. Apabila Umat Islam digalakkan untuk melibatkan diri didalam smabutan Hari Valentine mereka diperdayakan untuk meninggalkan nilai-nilai akhlak, standard bertingkah-laku, kehormatan dan maruah yang Islami, yang diperintahkan untuk dipelihara didalam menjalinkan perhubungan lelaki dan wanita.

Adalah amat perlu bagi kaum muslimin untuk menyedari bahawa Islam mengkehendaki mereka menjadikan tempat rujukan mereka sebagai hak ekslusif bagi Hukum Syarak. Ia adalah satu-satunya sumber yang sah bagi perayaan, tradisi atau amalan yang dibenarkan oleh Islam bagi Muslimin untuk mengikutinya. Islam adalah bertentangan secara total dengan konsep sekularisma. Ia juga tidak memberi sebarang ruang kepada konsep batil “kebebasan individu”. Sebaliknya, Islam hadir untuk mengatur urusan manusia didalam setiap aspek secara menyeluruh, membebaskan mereka dari ketundukan terhadap manusia atau hawa-nafsu mereka sendiri, dan memimpin mereka kepada hukum Pencipta mereka yang sempurna.

كان لأهل المدينة في الجاهلية يومان من كل سنة يلعبون فيهما
فلما قدم النبي صلى الله عليه وسلم المدينة قال قد كان لكم يومان
تلعبون فيهما وقد أبدلكم الله بهما خيرا منهما يوم الفطر ويوم النحر

Diriwayatkan bahawa Anas Bin Malik (ra) berkata; “Apabila Nabi saw berhijrah ke Madinah, peduduk disana memiliki dua hari perayaaan Jahiliyyah. Dia sawbersabda, “Apabila aku datang kepada kamu, kamu memiliki dua hari perayaan yang kamu sambut ketika masa jahiliyyah. Allah telah mengantikannya denga hari yang lebih baik, iaitu hari raya Fitr dan hari raya Adha.”

Berasaskan ini adalah jelas bahawa Islam telah melarang sambutan terhadap perayaan, samada ianya krismas, tahun baru, deepavali, dan sebagainya. Dari asal-usulnya Hari St Valentine adalah perayaan musyrikin yang menganjurkan pergaulan bebas didalam masyarakat dan ianya terpesong jauh dari apa yang dikehendaki oleh Islam. Oleh itu, menyambut dan melibatkan diri dengannya adalah diharamkan oleh Islam.

Perhubungan Lelaki dan Wanita di Dalam Islam.

Di Dalam Islam perhubungan lelaki dan wanita telah diatur secara jelas dan interaksi sesama mereka tidak dibangunkan berdasarkan denga merasangan naluri sexual antara satu dengan yang lainnya atau melihat antara satu dengan lainnya didalam bentuk pemuasan hawa-nafsu. Oleh itu aktiviti yang boleh membawa kepada pergaulan bebas dan intim diantara mereka mestilah diberhentikan.

Setiap bentuk keakraban dan kegairahan diantara mereka hanya dihadkan kepada bentuk perhubungan yang benar, iaitu perkahwinan.

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج فإنه أغض
للبصر وأحصن للفرج ومن لم يستطع فعليه بالصوم فإنه له وجاء

Ibnu Mas’ud meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda; “Wahai para pemuda. Sesiapa sahaja dikalangan kamu yang mampu utnutk berkahwin maka berkahwinlah, kerana ia akan membantu kamu untuk menjaga pandanagan dan mengawal kemaluannya. Dan barang siapa tidak berkemampuan untuk berkahwin maka berpuasalah, kerana ia akan menjadi pelindung bagi kamu.”

Penerapan Islam memastikan bahawa masyarakat yang dibangunkan bebas dari pergaulan bebas dan akan mempamerkan ketinggian kesedaran akhlak. Syariat Islam mengiktiraf keperluan dan naluri lelaki dan wanita dengan mensyariatkakan pernikahan. Institusi kekluargaan akan dilindungi dan diperkukuhkan dengan pengharaman perbuatan sumbang, perzinaan, pergaulan bebas antara jantina dan mengatur kod pakaian. Dengan hukum-hukum yang ada padanya, Islam akan menghalang dari sebarang kemungkinan kepada masyarakatnya untuk dijangkiti oleh penyakit masyarakat yang diakibatkan oleh pergaulan bebas sebagaimana yang dihidapi oleh masyarakat Barat.

Allah SWT berfirman,

وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (al Israa’, ayat 32)

Wassalam. Semuga kita semua kembali ke jalan yang diredai Allah S.W.T

Peperiksaan akhir kembali lagi…

Tanggal 29 Okt 2008 bersamaan 29 Shawal 1429 semua pelajar UiTM Segamat terutama pelajar IS110 akan menduduki ujian serta peperiksaan akhir. Saya yakin saat ini para akan merasa ketegangan serta keresahan dalam diri  mereka. Saya juka yakin pada saat ini ramai pelajar sudah melakukan pelbagai usaha bagi memastikan kejayaan cemerlang milik mereka.

Kejayaan dalam peperiksaan sering digunakan sebagai kayu pengukur untuk melihat keupayaan seseorang pelajar dalam memastikan mereka mampu merai gred A atau GPA 4.00 sepanjang pembelajaran di kampus. Ia juga tiket untuk mereka melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi. Di saat ini para pelajar selalu diingatkan agar sentiasa mempersiapkan mereka daripada segi mental, fizikal, emosi dan rohani.

Sektor pekerjaan tentu akan terbuka luas kepada calon yang cemerlang. Jika mereka masih leka dan selesa dengan apa yang ada, pasti anak kita akan ketinggalan dalam pelbagai bidang. Pelajar hari ini kelihatan semakin kurang menunjukkan minat membaca. Masih ramai pelajar yang menjadikan buku hanya teman ketika menjelang peperiksaan, sedangkan budaya membaca ini perlu dipupuk dan dijadikan amalan harian. 

Apa pun perancangan yang dibuat, jika pelajar sendiri tidak bersikap positif dan memandang serius nasibnya, pasti segala-galanya akan sia-sia.

Banyakkan melakukan amalan kerohanian seperti berpuasa, solat hajat, berdoa dan membaca surah Yasin ketika anda hampir menduduki peperiksaan. Amalan ini dapat membantu memberi semangat dan keyakinan kepada pelajar.

Seterusnya bertawakal kepada Allah selepas kita melakukan pelbagai usaha bagi mencapai apa yang dihajatkan. Firman Allah yang bermaksud: “Apabila kamu bercita-cita maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal.”

“SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR & SEMOGA BEROLEH KEJAYAAN”

 p/s: Untuk semua pelajar saya telah saya halalkan segala ilmu dan dimaafkan segala kesilapan..Amin

Kualiti Pelajar UiTM @ ITM Dulu dan Kini – Pandangan Alma Mater

Tertarik petikan rencana daripada Utusan Malaysia 20/08/2008 tentang kualiti pelajar UiTM kini berbanding lepasan sekitar tahun 70 – 90an. Ianya perlu diambil berat terutama golongan pelajar dan pensyarah..

UiTM perlu terus tingkat kualiti

AHAD baru lepas saya cukup teruja. Saya kembali ke kampus di UiTM (dulu ITM), Shah Alam dan ke alma mater atau sekolah lama saya, Kajian Sebaran Am atau lebih popular dikenali oleh pelajar lama sebagai Mass Comm.

Dulu sekolah itu berada di tingkat 13, di atas bangunan menara yang menjadi ikon kepada institusi pengajian tersebut. Di situlah ia terletak sejak sekolah itu ditubuhkan dengan kerjasama University of Ohio pada tahun 1972. Kini ia mempunyai bangunan baru, di atas tanah sendiri. Setelah zaman berubah, nama sekolah itu juga telah berubah. Kini ia dikenali sebagai Fakulti Pengajian Media dan Komunikasi.

Dalam tempoh notis tidak sampai 48 jam hujung minggu lalu, pihak fakulti diterajui dekan, Adnan Hashim menganjurkan Sesi Teh Tarik Alumni Mass Comm dan berjaya mengumpulkan kira-kira 40 bekas pelajar yang ada di antaranya ialah lulusan tahun 70-an. Tidak pasti mengapa ia diadakan tergesa-gesa, mungkin juga kerana isu politik Menteri Besar Selangor tempoh hari. Namun pertemuan home coming, yang turut diadakan serentak di fakulti-fakulti lain, cukup bermakna buat kami. Kita tolak ke tepi dulu soal politik, tapi nostalgia bertemu dengan rakan-rakan lama – terutamanya yang seangkatan dan senior cukup teruja dan nostalgik.

Kami berkumpul dan bersembang kisah-kisah lama. Ramai rakan sekuliah, telah berjaya menjawat jawatan besar di sektor-sektor korporat – dan ada yang menjadi usahawan berjaya dengan membuka agensi-agensi pengiklanan, perhubungan awam serta pembikinan filem. Rata-rata mereka memilih untuk berdikari. Mereka ini cukup profesional.

Seorang rakan sekuliah dan teman sebilik saya tahun 1985-1988, Saiful Kamar misalnya mempunyai agensi pengiklanan People and Bell yang berkembang pesat. Menamakan sebahagian, senior saya Zabidi Sanip memiliki sebuah syarikat komunikasi terkenal Concept Communications dan pengeluar filem, KiraWang. Lebih senior dari itu, Azizul Kallahan memiliki firma pengiklanan terkemuka Spencer Azizul Advertising, Shukri Rafie pula ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kepada syarikat pengiklanan berstatus multinasional, Publicist, DNA Communications dimiliki oleh senior Mussadikh Meah.

Semua mereka berjaya. Ia adalah hasil yang dikeluarkan oleh UiTM. Wartawan hebat juga banyak yang dihasilkan oleh sekolah itu. Antaranya Berita Harian diterajui Datuk Manja Ismail, Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Zulkifli Salleh serta bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Zakaria Wahab (kini koresponden Bernama di Singapura).

Juga rakan-rakan wartawan yang terkenal – yang kemudiannya keluar – menjadi bloggers, Rocky’s Bru (Akhiruddin Attan) dan anak kepada Tan Sri Samad Ismail, Nuraina, yang blognya mencecah sejuta pelawat beberapa hari lalu. Tidak lupa juga NGO seperti Zarinah Anwar (Sisters in Islam), bekas dekan Mass Comm yang juga alumni sulung, Datuk Hamdan Adnan (bekas pesuruhjaya Suhakam dan kini Pengerusi Institut Perhubungan Awam Malaysia), juga bekas dekan Hamidah Karim yang memiliki firma perhubungan awam terkemuka, Prestige Communications.

Itu hanyalah sekadar sebutan, banyak lagi senior dan junior yang terlibat dalam bidang perniagaan kecil dan besar serta menjawat jawatan penting di jabatan-jabatan kerajaan. Dua orang kolonel penuh yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga dihasilkan oleh sekolah komunikasi itu. Kolonel Fadzlette Merican, segelintir wanita yang memegang pangkat itu, kini ialah Pengarah Perhubungan Awam di Kementerian Pertahanan. Lebih kejutan apabila Kolonel Ahmad Afandi Mohamad, yang hadir pada majlis alumni itu, memperkenalkan dirinya sebagai komando pertama yang dilahirkan oleh Mass Comm! Beliau kini ialah Pengarah Bahagian Latihan, Jabatan Pertahanan Awam di Kementerian Dalam Negeri, juga seorang pakar menyelam skuba.

Apa yang kita lihat itu hanyalah melibatkan satu fakulti daripada banyak lagi fakulti yang diwujudkan oleh UiTM. Fakulti kejuruteraan, perniagaan, perakaunan, undang-undang masing-masing melahirkan tokoh-tokoh korporat terkemuka negara dan juga menteri Kabinet serta ahli-ahli politik.

Sekadar disebut di sini lagi, tokoh seperti Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed ialah lulusan kejuruteraan; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Osman Said; Datuk Ibrahim Ali (Ahli Parlimen Bebas); Datuk Ahmad Pardas Senin (Pengarah Urusan dan CEO UEM World); Tan Sri Salleh Sulong (bekas Pengerusi DRB-Hicom); Datuk Salleh Majid (bekas Pengerusi BSKL); Tan Sri Ahmad Kama Piah (CEO PNB) serta Pengarah Urusan Gerbang Perdana yang juga kontraktor yang ‘cuba’ membina jambatan bengkok menggantikan Tambak Johor, Datuk Yahya A. Jalil. Walaupun mereka kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, tapi fundamental mereka cukup baik.

Melihatkan kepada kecemerlangan ini, kita berharap UiTM akan terus melahirkan tokoh-tokoh seperti senior itu bagi membantu membina negara.

Namun, UiTM tidak seharusnya berpuas hati. Mungkin apa yang ditegur oleh orang luar mempunyai sedikit sebanyak kebenaran. Walaupun hak dan status institusi itu jelas tidak boleh dikompromi, namun kualitinya harus perlu terus ditingkatkan. Kualiti dulu dan sekarang banyak dipersoalkan. Kami sebagai senior juga banyak yang bercakap mengenai kualiti sekarang.

Diharapkan peneraju UiTM dapat menerima kritikan dengan membina. Kuatkan lagi organisasi alumninya kerana pelajar lama inilah yang akan memberi sokongan bagi memastikan alma mater mereka ini tidak tercicir. Kami akan terus memerhati

Mencapai kejayaan Emas

Haahaa…Cuti mid sem ni banyak masa sikit nak update bahan dlm blog utk tatapan pelajar & pengunjung setia..Ini tips dari Irfan ..

TIP IK: MENCAPAI KEJAYAAN EMAS
==============================

Bagi yang minat olympic, pastinya terpaku didepan TV
je sejak beberapa hari lepas. Saya sendiri dulu-dulu ikut juga
Olympic, tapi, waktu ni sibuk sikit, so, tak sempat nak ikuti…

Walaubagaimanapun, kalau tak ikut Olympic, satu nama yang pasti
kita dengar Olympic Beijing kali ini adalah Michael Phelps-
pemenang emas bagi acara renang dan kini beliau telah memenangi
lebih 10 pingat emas secara terkumpul daripada Olympic. Satu record
baru yang dahulunya di pegang oleh atlit seperti Carl Lewis dengan
9 pingat emas.

Olympic Beijing ini sahaja Phelps sudah mengumpul 8 pingat emas.

Apakah rahsianya?

I have so many races, so much to do in every race, I have to keep
100 per cent focused. No matter how good, you have to force it out
of your head,”
-Michael Phelps

Maksudnya adalah:

-100% fokus
-Jangan fikir diri kita sudah bagus (penting ni)
-Bersaing dengan diri sendiri, dan bukan oran lain!

Walaupun kita tak masuk Olympic, tapi, strategi Phelps adalah
sesuatu yang kita juga perlu ada!

“When someone says you can’t do something, it shows that anything
is possible. When you put your mind to a certain thing, it can
happen. The biggest thing is nothing is impossible. All it takes is
an imagination.”

-Michael Phelps

Sesuatu yang amat memberi inspirasi!

UiTM MILIK PENUH BUMIPUTERA

Tertarik utk berkongsi kata-kata saudara Ruhanie Ahmad di Blog beliau
Saya amat setuju kata-kata beliau agar pelopor UiTM juga turut bangkit mempertahankan UiTM dari dulu, kini dan selamanya..
UiTM MILIK PENUH BUMIPUTERA

UiTM – dulu ITM, Maktab MARA atau Maktab RIDA – adalah Institut Pengajian Tinggi (IPT) Bumiputera. Kewujudannya adalah berasas dan berlandaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Status ini tidak perlu dipertikaikan. Ia juga tidak wajar dirobah. Janganlah kerana politik maka status ini mahu digolok-dagaikan oleh sesiapa.

Selaku Setiausaha Agung Kesatuan Pelajar ITM (KPITM) 1970-1971, saya menyeru ratusan ribu graduan ITM dan kini UiTM, supaya bangkit, bersuara dan bertindak menentang sesiapa sahaja yang cuba mengganggu-gugat status quo IPT ini mutakhir ini.

Saya harap rakan-rakan kepimpinan pelajar ITM di tahun-tahun 1970-an, termasuklah Mansor Abdul Rahman, Samaruddin Rejab, Kamaruddin Sulaiman, Salleh Majid, Ibrahim Abu Shah, Zulkifli Abidin, Alias Ismail, Rozilah Razak, Abdul Jalil Din, Hamat Kama Piah, Salleh Sulong, Ibrahim Ali dan lain-lainnya bangkit, bersuara dan bertindak untuk mempertahankan UiTM yang kini mahu dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera.

Matab RIDA, Maktab MARA, ITM dan akhirnya UiTM, mempunyai sejarah yang panjang sejak penubuhannya pada 1956. Mutakhir ini UiTM mempunyai 1 kampus induk, 3 kampus satelit, 12 kampus cawangan, 8 kampus bandaraya dan 19 kolej bersekutu. Jumlah pelajarnya kini kira-kira 100,000 orang.

Universiti ini menerokai bidang-bidang baru sejak berpuluh tahun yang lalu. Contohnya, sebelum masyarakat Malaysia mengenali komputer secara meluas, UiTM sudah memulakan kurus sains komputer sejak pertengahan 1960-an. Ia juga menyediakan pelbagai kursus lain yang mencakupi hampir semua bidang kehidupan, perniagaan, perdagangan dan perindustrian.

Oleh itu, mari kita pertahankan UiTM. Kita tentang habis-habisan sesiapa sahaja yang cuba merobah status quo di atas. Bujur lalu, melintang patah, seluruh lepasan UiTM mesti pertahankan IPT ini daripada diperkotak-katikkan oleh sesiapa.

Dalam konteks ini, kita ucapkan syabas kepada lebih 3,000 pelajar UiTM yang hari ini berhimpun di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam untuk menunjukkan sikap tidak kompromi mereka kepada sesiapa sahaja yang mahu menukar status quo UiTM.

Kita juga ucapkan jutaan terima kasih kepada Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Ibrahim Shah yang juga bertegas menentang apa jua percubaan untuk mengganggu-gugat universiti tersebut kebelakangan ini.

Kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, wajar kita beri amaran awal, jika apa yang telah beliau suarakan mengenai UiTM baru-baru ini terus disuarakan, bersedialah hadapi kunsekuensinya. Insaflah bahawa lulusan ITM dan UiTM yang ratusan ribu jumlahnya adalah satu force yang tidak boleh diperlekehkan oleh sesiapa, waima oleh seorang Menteri Besar! – Ruhanie Ahmad

Puisi : Kekasih vs ibu

Orang kata aku lahir dari perut ibu..
Bila dahaga, yang susukan aku.. ibu
Bila lapar, yang suapkan aku..ibu
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ibu
Kata ibu, perkataan pertama yang aku sebut.. Bu!
Bila bangun tidur, aku cari.. ibu
Bila nangis, orang pertama yang datang ..ibu
Bila nak bermanja… aku dekati ibu
Bila nak bergesel… aku duduk sebelah ibu
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya ibu
Bila nakal, yang memarahi aku… ibu
Bila merajuk… yang memujukku cuma..ibu
Bila melakukan kesalahan… yang paling cepat marah..ibu
Bila takut… yang tenangkan aku.. ibu
Bila nak peluk… yang aku suka peluk..ibu

Aku selalu teringatkan ..Ibu
Bila sedih, aku mesti talipon… Ibu
Bila seronok… orang pertama aku nak beritahu… Ibu
Bila bengang.. aku suka luah pada ..Ibu
Bila takut, aku selalu panggil.. “ibuuuuuuuuuuuuu! ”
Bila sakit, orang paling risau adalah ..Ibu
Bila nak exam, orang palin g sibuk juga Ibu
Bila buat hal, yang marah aku dulu..Ibu
Bila ada masalah, yang paling risau..
Ibu
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. Ibu
Yang selalu masak makanan kegemaranku. . Ibu
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku, Ibu
Yang selalu berleter kat aku.. Ibu
Yang selalu puji aku.. Ibu
Yang selalu nasihat aku.. Ibu
Bila nak kahwin..
Orang pertama aku tunjuk dan rujuk… Ibu

Aku ada pasangan hidup sendiri
Bila seronok… aku cari pasanganku
Bila sedih… aku cari Ibu
Bila berjaya… aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal… aku ceritakan pada Ibu
Bila bahagia, aku peluk erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat Ibuku
Bila nak bercuti… aku bawa pasanganku
Bila sibuk… aku hantar anak ke rumah Ibu
Bila sambut valentine… Aku hadiahi bunga pada pasanganku
Bila sambut hari ibu… aku cuma dapat ucapkan Selamat Hari Ibu
Selalu… aku ingat pasanganku
Selalu… Ibu ingat kat aku
Bila..bila… aku akan talipon pasanganku
Entah bila.. aku nak talipon Ibu
Selalu… aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila…. aku nak belikan hadiah untuk Ibuku

Renungkan:

Dulu Ibu kata: “Kalau kamu sudah habis belajar dan berkerja… bolehkah kamu kirim wang untuk Ibu? Ibu
bukan nak banyak… lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah”.

Berderai air mata. Hari ini kalau Ibu mahu lima ratus sebulan pun aku mampu. Aku boleh kirimkan.

 

Tapi Ibu sudah tiada. ingatlah pengorbanan ibuuuuu….

Rahsia untuk anak cemerlang

Rahsia untuk menjadikan anak anda cemerlang dalam akademik.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Apakah rahsia menjadikan anak anda seorang pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik?
Maybe kita boleh kongsi rahsia bagaimana nak menjadi anak-anak kita pelajar cemerlang dalam topik ini.. Kepada yang lain2 harap dapat berkongsi tips2 dan pengalaman sendiri supaya kita dapat sama2 membantu anak-anak kita.

Tips # 1 – Pastikan anak anda hadir dalam semua kelas

Seboleh2nya  anak anda jangan ponteng kelas lansung..Maybe anak anda boleh dapatkan nota dari kawan2 anda tetapi ianya tak akan sama dengan menghadiri kelas itu sendiri..Pengalaman saya masa belajar di UiTM dulu boleh nampak result2 yg kurang memberansangkan banyaknya disebabkan tak datang kelas..

Parents pun jangan ajar anak2 ponteng kelas ya kalau nak balik kampung ke or ada hal ke..Seboleh2 avoid it..

Kalau anak tak dapat juga pergi sekolah then pastikan mereka faham apa yang telah diajar..Kalau boleh, dapatkan ad hoc tuition untuk that particular topic. Anda perlu ingat yg kadang2 topik tu berkait dengan topik2 yang akan diajar in future.

Tips # 2 – Duduk di bahagian depan kelas

Tips ni pun pernah Dr Fadzilah Kamsah mentioned in ERa..

Kenapa perlu duduk depan?

1. Guru-guru anak anda akan kenal dengan mereka. Dia akan rasa yang anak anda memang minat dengan kelas dia dan dia akan rasa dihargai. Nanti nak tanya apa2 mmg senang je dia nak tolong..

2. Anak anda akan lebih concentrate. Kalau duduk belakang2 ada tendency untuk main2, tak concentrate, mengelamun.

3. Anak anda akan segan nak ponteng kelas sebab memang cikgu akan perasan kalau dia  x datang sebab dia selalu nampak anak anda itu di depan.

Tips # 3 – Pastikan anda sediakan jadual belajar untuk anak

Rasanya anda semua pernah dengar ” People don’t fail to plan but people plan to fail” atau dalam BM nya “Orang tidak merancang untuk gagal tapi mereka gagal untuk merancang”

So kita perlu buatkan rancangan untuk anak2 kita. Sediakan jadual yang munasabah untuk anak2 kita. Kalau dia ada kat rumah sediakan jadual yang sesuai. Ada banyak cara kita boleh check dia ikut atau tidak jadual tu:-

1. Suruh dia explain apa yang dia dah belajar for that day.

2. Suruh dia buat nota untuk apa yg dia dah belajar.

3. Dia dah siapkan latihan2 yang dah sepatutnya dia buat. Check balik dengan dia kenapa dia pilih jawapan2 tu sbb x nak dia main jawab je. Kalau boleh dapatkan buku2 latihan yang jawapan2nya boleh diasingkan supaya dia tidak meniru aja.

Sumber:

From: Mohd Yusoff <cikgutuition@yahoo.com>
Sent: Wednesday, 23 April, 2008 1:08:00 PM

Pembohongan seorang ibu

Menitik airmata ini saat membaca coretan ini….

Ibuku seorang pembohong
 
Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.

 

Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga.
Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : “”Makanlah nak ibu tak lapar.” – PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

 

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik.
Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi..
Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : “Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.
 
Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak.
Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih denagn beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : “Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula.” Ibu tersenyum dan berkata : “Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

 

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.
Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih saying ibu yang jauh lebih kental.
Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : “Minumlah nak, ibu tak haus!!” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

 

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.
Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu.
Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : “Saya tidak perlukan cinta saya tidak perlukan lelaki.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

 

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya.
Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : “Jangan susah-susah, ibu ada duit.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

 

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara.

Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.

Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; “Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.


 

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta.

Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap ajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menhadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus.

Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : “Jangan menangis nak, ibu tak sakit.” – PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.


 

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, ‘Ibu,saya sayangkan ibu.’ Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebi dari segala-galanya, tapi tidak pernah sealipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu. Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…

Buat semua yang masih mempunyai ibu…jagalah ibu anda dengan baik. Ibu ibarat lilin yang membakar dirinya untuk memberi cahaya pada anak-anaknya. Dengar dan patuh nasihat ibu dan jangan abaikan ibu bila sudah berjaya.

%d bloggers like this: